Tuesday, December 11, 2007 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Bicara Agama : Cemerlang akademik tetapi jangan abai agama

Saidina Ali Abi Talib pernah berkata, kalau kamu memiliki harta, kamu perlu menjaganya tetapi jika kamu memiliki ilmu, maka ia akan menjagamu. Allah juga berfirman, Allah akan meninggikan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat... (al-Mujadalah: 11)

Ini menunjukkan kepada kita akan kepentingan ilmu pengetahuan dalam kehidupan seharian.

Kepada wartawan, MOHD. RADZI MOHD. ZIN dan jurufoto, ZAKARIA IDRIS, Timbalan Rektor Korporat dan Pengantarabangsaan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Mohd. Shah Abdullah mengupas persoalan ini.

MEGA: Kepentingan ilmu kepada manusia memang tidak dipertikaikan. Namun, apakah kesan jika terlalu menekankan kepada berapa banyak dapat A sahaja dalam peperiksaan?

MOHD. SHAH: Saya berpendapat, suasana sedemikian akan mendatangkan kesan tidak baik kepada pelajar. Sebabnya, para pelajar akan rasa terlalu tertekan dengan harapan menggunung ibu bapa yang mahu mereka mendapat seberapa banyak A yang boleh dalam peperiksaan.

Malah, ada kes di mana pelajar membunuh diri apabila gagal mencapai tahap akademik sebagaimana yang diharapkan oleh ibu bapa.

Berasaskan pandangan yang sama, ramai ibu bapa berlumba-lumba mahu menghantar anak masing-masing ke Sekolah Berasrama Penuh (SBP). Namun disebabkan tempat yang ditawarkan terhad, ia kadangkala menyebabkan berlaku penggunaan saluran-saluran yang tidak sah atau istilah ‘menggunakan kabel’ untuk memastikan anak dapat ke SBP.

Dalam hal ini, kita perlu berbalik kepada asas pendidikan iaitu untuk melatih pelajar agar boleh dan pandai berfikir serta menguasai kemahiran tersebut dan berakhlak baik.

Sejarah membuktikan bahawa anak- anak yang belajar di sekolah bantuan kerajaan biasa pun boleh mencipta kejayaan sebagai mana Nur Amalina Che Bakri yang mencatat 17 1A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau bukan sahaja berjaya dalam akademik tetapi juga mempunyai akhlak yang baik. Inilah contoh keseimbangan pelajar yang kita mahu.

Sebaliknya, ramai ibu bapa kini mempunyai persepsi yang salah tentang sekolah biasa. Ini berlaku kerana kita meletakkan sesuatu yang tidak betul pada tempatnya.

Malah, ada ibu bapa yang menghantar anak ke tuisyen sejak tahun 1 lagi. Pusat tuisyen semakin diminati berbanding belajar di sekolah. Dan apabila berjaya dalam peperiksaan, selalunya tuisyen yang mendapat pujian bukannya jasa guru yang mengajar di sekolah.

Ada ibu bapa yang beranggapan jika anak mereka gagal mencapai banyak A dalam peperiksaan, maka gelaplah masa depan mereka. Adakah benar tanggapan begini?

MOHD. SHAH: Ini adalah satu lagi salah tanggapan dalam masyarakat. Ramai beranggapan jika gagal dapat banyak A, maka gelaplah dunia. Seolah-oleh dunia ini hanya tempat bagi orang yang berjaya dan tidak ada tempat bagi mereka yang gagal.

Realitinya, kita boleh melihat kepada contoh yang ada hari ini. Bill Gates iaitu orang terkaya di dunia dan pengasas Microsoft Corp. ialah pelajar yang tidak menamatkan pengajian di Universiti Harvard. Baru-baru ini sahaja beliau memperoleh ijazah daripada universiti tersebut.

Ini menunjukkan tiada korelasi antara pendidikan tinggi dengan kejayaan mencipta kekayaan. Sebenarnya, sistem pendidikan negara adalah holistik mencakupi falsafah, pedagogi dan kandungan silibusnya. Tetapi masyarakat terlalu mementingkan kepada pencapaian akademik.

Penekanan terhadap subjek agama Islam sebagai teras peperiksaan nampaknya kurang diberi perhatian. Adakah ini memberi kesan dalam usaha kerajaan memberi tumpuan kepada pembentukan modal insan?

MOHD. SHAH: Kita tidak boleh menafikan semua ini berlaku akibat globalisasi. Ia membawa budaya bentuk baru yang merosakkan umat Islam melalui program di televisyen, cakera padat video (VCD) dan juga filem. Kalau tapisan iman kita lemah, memang mudah kita tewas.

Saya suka mencadangkan agar diwujudkan dasar supaya pelajar Muslim perlu mendapat kepujian dalam subjek Pengetahuan Agama Islam di peringkat SPM. Malah, ia juga wajar dijadikan syarat berkhidmat dalam kerajaan.

Sebabnya, dalam Wawasan 2020 pun kita mahu menjadi negara maju mengikut acuan sendiri dan melihat generasi yang seimbang dari segi jasmani dan rohaninya. Jadi, kita tidak boleh mengkesampingkan subjek agama Islam dalam pelajaran anak-anak. Ilmu agama yang kukuh adalah asas atau tunjang kepada pembentukan modal insan yang sempurna.

Apa yang dibimbangi, kita hanya membina sarang labah-labah. Ia rapuh dan apabila ditiup angin akan jatuh. Kita sudah pun memiliki formula ke arah itu sesuai dengan kemerdekaan yang dicapai 50 tahun lalu. Apa yang perlu dilakukan kini ialah memperkasakannya sahaja.

Ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana negara mempunyai ramai tokoh pemikir, ulama dan cendekiawan yang boleh berganding bahu merealisasikan hasrat tersebut.

Mungkin sudah sampai masanya semua institusi pengajian tinggi awam yang tidak mempunyai Fakulti Pengajian Islam menawarkan subjek pengajian Islam seperti tauhid dan fikah. Ini supaya negara boleh melahirkan lebih ramai golongan profesional ustaz. Apa pandangan anda?

MOHD. SHAH: Saya setuju. Sememangnya kita menekankan kepada pendidikan bersepadu dalam semua bidang. Malah, ini juga adalah asas dan teras kepada pendidikan negara.

Malangnya, ia kini dipisah-pisahkan kesan sekularisme sehingga mewujudkan split personality. Di satu pihak mahukan ilmu agama sahaja dan satu pihak lagi ilmu akademik semata-mata. Inilah penyebab berlakunya ketidakseimbangan.

Apabila ditawarkan subjek asas seperti tauhid dan fikah ini, walaupun seseorang pelajar itu dari jurusan perubatan atau kejuruteraan, dia juga akan mempelajari agama. Pengetahuan agama yang diperolehi itu tadi akan memandu mereka dalam menjalankan tugas seharian.

Sebab itu, berdasarkan pengamatan, mereka yang terlibat dalam jenayah kolar putih ini adalah golongan yang berpelajaran. Tetapi disebabkan kekurangan didikan agama maka berlakulah jenayah tersebut. Natijahnya, lagi cerdik lagi pandai dia menipu. Pastinya, lebih besar mudarat orang terpelajar melakukan jenayah berbanding orang yang buta huruf.

Dalam usaha kerajaan menerapkan integriti, kita perlu memantapkan sistem pendidikan dan yang pastinya pendidikan agama jangan dipisahkan. Subjek Tamadun Islam di institusi pengajian tinggi awam adalah tidak mencukupi kerana ia hanya mengajar bab yang umum. Kita mahu melahirkan ilmuwan terbilang seperti Ar-Razi, Ibnu Sina dan Ibnu Khaldun.

Kita mahu melahirkan pelajar yang sederhana wataknya tetapi futuristik. Dan mereka tidak boleh dipisahkan daripada Melayu dan Islam.

Bagaimanapun, pengenalan subjek Jawi, al-Quran dan fardu ain (J-QAF) di sekolah-sekolah adalah usaha murni yang perlu diperkasakan. Sekurang-kurangnya, ibu bapa rasa lega kerana anak-anak mereka mendapat latihan amali berkaitan solat, bersuci dan lain-lain di sekolah.

Tiada ibu bapa yang mahu melihat anak mereka gagal dalam hidup. Namun, tidak ramai yang mahu anak mereka menjadi Muslim yang patuh kepada Allah. Bagaimana mencari titik keseimbangan dalam hal ini?

MOHD. SHAH: Saya melihat sudah ada perubahan dalam bab ini. Pada musim cuti sekolah, ramai ibu bapa yang menghantar anak masing-masing mengikuti kursus jangka pendek atau khemah-khemah ibadat serta motivasi.

Ia bagi melatih anak mereka bersolat, mendalami ilmu agama sebagai persiapan menjadi generasi yang seimbang duniawi dan ukhrawi.

Golongan ibu bapa ini pula kebanyakan terdiri daripada kelas pertengahan dan elit. Mereka mahu melihat anak-anak dijajar semula dengan ilmu agama dan mengelak terlibat dalam gejala sosial.

Kalau trend ini berterusan, insya-Allah masa depan generasi muda di negara kita cerah.

Realitinya, memang tidak ada ibu bapa yang mahu anak-anak gagal dalam akademik. Namun, mereka yang gagal akademik ini masih boleh berjaya dalam aspek kemahiran seperti jahitan, pertukangan dan lain-lain.

Apa yang penting ialah memiliki anak-anak yang berjaya dan berakhlak mulia bak perumpamaan, ‘rosak budi, rosaklah bangsa dan rosaklah negara’.

Lagipun, ingatlah kita kepada sabda Rasulullah s.a.w, Setiap anak dilahirkan itu adalah dalam keadaan fitrah (bersih), ibu bapanya yang menentukan sama ada ia menjadi yahudi, majusi atau nasrani. (riwayat Muslim).