Thursday, June 25, 2009 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Wanita...kerana dirimu begitu berharga...


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Assalamualaikum.....


Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menaip di blog ini. Walaupun keadaan hati tidak begitu mengizinkan akibat dugaan yang datang bertimpa waima tentang teman maupun majlisku. Apapun, nasyid berjudul "Dilema" dendangan kumpulan Hijjaz membawa seribu makna kepadaku. Memberiku ilham untukku mencoret sesuatu di sini.
Peringatan buat diri
Buat insan bergelar wanita, usah murahkan dirimu dengan membenarkan sang lelaki untuk menyentuh fizikalmu apa tah lagi hatimu semudah itu. Kita punya maruah untuk dijaga. Jangan terlalu mendambakan lelaki jika insan itu belum hadir dalam hidupmu. Jangan semudah itu untuk terlalu bergantung atau perlu sentiasa bersama lelaki jika anda berpasangan. Fahamilah hakikat rindu untuk dinikmati setelah kalimah akad dan nikah.




Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Dilema
Album : Pelita Hidup IV
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com



Lihatlah panorama dunia
Wanita bagaikan hilang rasa malunya
Maruah yang menjadi maharnya
Tergadai sia bagai tiada berharga

Di manakah budinya di manakah akhlaknya
Sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
Santun tiada lagi nafsu memimpin hati
Kehormatan diri tidak dipeduli

c/o
Oh wanita kembali menginsafi
Kepada asal fitrah kejadianmu
Diciptakan untuk dihormati
Sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
Kembali kepadanya juga pada Rasulnya
Pasti dihadirkan taufik dan hidayahnya
Wanita...

Kembalilah ke arah kemuliaan
Contohi peribadi Ummul Mukminin
Rasulullah dijadikan suami
Tertawan kerna keluhuran pekerti
Bukan kerana harta bukan kerana nama
Tapi kerana budi yang disanjungi
Kembalilah...

Wanita perhiasan dunia
Bagai kilau permata di antara kaca
Sayangnya makin pudar cahaya
Hingga tiada lagi beza di antaranya
Sunday, June 7, 2009 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Tazkirah Remaja: 6 perkara dorong beribadat

Tazkirah Remaja: 6 perkara dorong beribadat
Bersama Mohd Zawawi Yusoh
(sumber : MyMetro)


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


PADA waktu Rasulullah s.a.w mengembala kambing, ada sekumpulan remaja melepak tidak jauh daripadanya sambil berborak dan ketawa.

Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah s.a.w:


"Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?"

Dengan tegas, Rasulullah s.a.w menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan baginda itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan hingga melalaikan, itu yang merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi s.a.w yang agung itu, ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadat kepada Allah.

Kadang-kadang ada yang lepak hingga lupa untuk menunaikan solat. Mereka yang bermain bola pada waktu petang di padang tidak lagi malu dengan azan yang berkumandang. Padang bola pula bersebelahan masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing dan lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi jalan. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu kerja, waktu rehat, masa tidur, makan dan bermain ada, tetapi sayangnya waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Ada yang beribadat apabila berkesempatan dan bila tidak sempat qada saja. Ada pula memberikan alasan sibuk. Kadang-kadang ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadat?

Dalam ruangan kali ini, saya mengajak remaja memahami tujuan kita mesti beribadat.

Ada enam alasan kita mesti mengabdikan diri kepada Allah. Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau bagaimana sibuk.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah ialah supaya kita beribadat kepada-Nya. Firman Allah bermaksud: "Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah-Ku." (Al-Quran, surah adz-Dzaariyat: 56)

Jika tugas lain kita boleh ingat, tugas ibadat lebih utama dan lebih-lebih lagi kita harus mengingatinya.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma.

Zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar. Bil elektrik dan telefon, jika tidak dibayar kena potong.

Tetapi kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan kalau kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tidak beribadat ini matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah maksudnya: "Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam daripada (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (Firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka menjawab: Benar, kami menjadi saksi..." (Al-Quran, surah al-A'raaf:172)

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul ialah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat, apatah lagi kita.

Firman Allah bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami mengutus dalam kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul: Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah taghut..." (Al-Quran, surah al-Nahl: 36)

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita, kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka pada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah maksudnya: "Katakanlah: Sesungguhnya aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari Kiamat)." (Al-Quran, surah al-An'am: 15)