Tuesday, May 25, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

RINDU ITU MENGGAMIT...






Friday, May 7, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Drama atau pentomin


Assalamualaikum wbt...

Sekadar perkongsian ringkas tentang apa yang berlaku hari ini. Hari ini adalah pertandingan drama anjuran Panitia Sejarah sempena Karnival Ko-Akademik yang melibatkan semua pelajar tingkatan 4. Sudah tentu, dua kelas ku terlibat, 4 Beringin dan 4 Damar.

Untuk 4 B, sudah tentu tiada masalah kerana mereka begitu bersemangat untuk berlatih dan sudah tentu sangat bersedia. Namun, sebaliknya bagi pelajar 4 D. Mereka juga membuat persediaan, namun tidak selancar kelas-kelas lain. Pada saat akhir, ada konflik yang berlaku antara mereka hingga ada yang menarik diri serta merajuk untuk tidak berlakon. Sesi pujuk-memujuk berlaku. Aku bukanlah guru yang mengendalikan, namun oleh kerana aku begitu rapat dengan mereka, aku dengan sukacita menawarkan diri memberi sesi kaunseling kepada mereka bersama-sama pengetua memandangkan mereka ini diajar oleh Pengetua untuk subjek Sejarah. Pengetua juga telah mengarahkan aku untuk 'berkejaran', mengenali suspek2 pelajar 4 D yang berkeliaran. Sesi kejar mengejar serta rayu-merayu dijalankan.

Kalau diikutkan, mereka ingin menarik diri, namun Pengetua tidak membenarkan jua. Lalu, kata-kata semangat diberikan. Pujuk-rayu juga berjalan. Ada yang bersemangat, ada yang lari begitu sahaja. Namun, aku sangat mengagumi pelajar-pelajar ku ini. Walaupun mereka sangat tidak bersedia seperti kelas lain dari segi hafalan skrip mahupun prop, namun mereka tidak malu untuk membuktikan.

Usai sahaja persembahan, mereka berkumpul di satu sudut bersama pengetua. Teringat kata-kata pengetu, "Kalah menang bukan soalnya, at least kamu mencuba. Ada pengalaman yang kamu dapat..".

Pelajar-pelajar 4B dan 4D dijamu ais krim oleh Pengetua. Ada kepuasan di wajah-wajah itu. Walau mereka mungkin tidak meraih kemenangan, namun mereka peroleh pengalaman berharga di situ.

Benarlah kata-kata pengetua kepadaku, "Kita ni cikgu, kena selalu memberi peluang kepada pelajar. Lihat apa peluang yang sesuai dengan kebolehan mereka...".

Akan ku ingati nasihat itu...

Aku bersama pelajar 4B

Pengetua bersama pelajar 4D

p/s : Pelajar-pelajarku juga adalah pelajar-pelajar yang diajar oleh Pengetua untuk subjek Sejarah. Jadi, jika kami sempat berbual, ada modal untuk berbual. Dulu sangat takut untuk berbual dengan beliau, namun sekarang tidak lagi.

Thursday, May 6, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Warna Kehidupan: 'Bertudung litup, berlengan pendek, berseluar sendat'

Warna Kehidupan: 'Bertudung litup, berlengan pendek, berseluar sendat'
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my


PEMAKAIAN tudung semakin diterima umat Islam negara ini tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat mahupun usia kerana pemakaiannya selari dengan tuntutan agama suci itu yang menuntut Muslimah untuk tidak mendedahkan aurat termasuk rambut mereka.

Penerimaan generasi muda Islam untuk memuliakan tuntutan Islam ini setidak-tidaknya memberi gambaran betapa kini berpakaian menutup aurat cuba dipenuhi meskipun ketika mereka menggayakan pakaian moden ekoran kehadiran semakin ramai pereka fesyen Muslimah.Pelbagai maklumat mengenai gaya bertudung yang disiarkan dalam media cetak dan secara dalam talian boleh diikuti Muslimah negara ini selagi ada daya usaha untuk melihat perkembangan terkini bagi melakukan perbandingan pakaian yang menepati selera.Terkini, Muslimah negara ini dilanda dengan trend bertudung gaya burung belatuk yang asalnya popular di Indonesia, tetapi dengan mudah menembusi pasaran negara ini sehingga berlaku lambakan tudung sedemikian dan mahu tidak mahu, sebahagian besar wanita Islam bertukar kepada gaya terbabit.

Selain gaya bertudung, Muslimah negara ini juga semakin ramai yang mengenakan kemeja-t berlengan pendek dan berseluar sendat, tetapi kepala tetap bertudung litup meskipun hakikat gaya berbusana sedemikian tidak menepati syarat berbusana dalam Islam.

Gaya berbusana sedemikian dikatakan lahir dari Indonesia yang kebetulan tidak mempunyai tradisi berbaju kurung, lalu apa juga pakaian hatta berkemeja t dengan lengan pendek turut dipadankan dengan tudung apabila diri sudah terbuka kepada nur Islam.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maslida Yusof, tidak menolak gaya berbusana sedemikian semakin ketara di negara ini, tetapi bukan saja di kalangan warga Indonesia tetapi juga Malaysia, khususnya golongan remaja.

“Saya sendiri tidak mengerti mengapa remaja Melayu Malaysia memilih cara berpakaian yang tidak sempurna sedangkan menutup aurat adalah sesuatu yang dituntut, malahan mereka akan kelihatan lebih sempurna, cantik dan manis dipandang,” katanya ketika ditemui Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya, mereka yang bertudung, tetapi masih berpakaian yang tidak sesuai dengan etika berpakaian Islam adalah kerana bersikap ambil mudah dan tidak memahami peraturan atau panduan berpakaian bagi wanita bertudung yang ditetapkan Islam.

“Sekiranya kita ikhlas bertudung, kita juga perlu tahu sebab dan mengapa Islam menuntut wanita untuk bertudung dan berpakaian sempurna, menutup aurat dan kemas. Dengan mematuhi cara berbusana menurut Islam, ia dapat memberi gambaran baik kepada masyarakat bukan Islam berkenaan keindahan agama suci kita,” jelasnya.

Dr Maslida yakin bahawa bertudung juga dijadikan muslihat sesetengah warga Indonesia bagi meraih simpati majikan Islam untuk mengambil mereka bekerja, meskipun hakikatnya mereka bukan beragama Islam kerana kerana sesetengah majikan negara ini tidak meneliti latar belakang pekerja mereka secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada individu Indonesia Islam yang hanya berpakaian sekadar memenuhi tuntutan kerja dan bukan kerana mengamalkan cara pemakaian Islam. Jadi terserah kepada kita untuk memilih yang terbaik untuk keluarga,” katanya.

Pemilik Butik MaMa, Nor Ainna Ibrahim, pula menegaskan tidak salah sekiranya ada kelompok yang berbaju lengan pendek, tetapi dipadankan dengan sarung lengan agar busana menjadi lebih sopan dan menepati ciri berpakaian menurut tuntutan Islam.

“Wanita Islam tidak kira dari mana dan apa juga latar belakang, perlu mengetahui cara untuk bergaya sopan dan menepati kehendak Islam. Butik MaMa dan Muslimah lain mempunyai pelbagai jenis pakaian yang boleh disesuaikan dengan cita rasa wanita bertudung.

“Malah, majalah dan akhbar yang memaparkan fesyen dan rencana bertudung boleh dijadikan rujukan untuk berpakaian menutup aurat. Wanita bertudung juga boleh melayari laman web butik Muslimah untuk mendapatkan pandangan mengenai etika berpakaian dan kesesuaiannya mengikut majlis serta tempat,” ujarnya.

Bagi Nor Ainna, tidak alasan bagi wanita bertudung untuk menghalalkan cara berpakaian yang tidak menepati ciri berpakaian Muslimah kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat tepat melalui pelbagai saluran media pada masa ini, hanya rajin dan malas saja yang menjadi masalah.

“Perlu diingat, Islam menuntut wanita agar menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan. Walaupun kita moden, tatacara berpakaian sopan dan sesuai mengikut apa yang diterapkan Islam bagi wanita bertudung masih tetap memberi ruang kepada mereka untuk tampil bergaya,” katanya.

Sunday, May 2, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

4 Damar


Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah dengan nikmat iman dan Islam ini. Hari-hari yang berlalu banyak perkara yang berlaku. Sudah tentu apa yang berlaku bersekitaran di sekolah. Kerana separuh dari hari aku saban hari dihabiskan di sekolah sebagai guru pelatih.

Aku sudah selesai di 'observe' oleh penyeliaku. Alhamdulillah segalanya lancar. Banyak kritikan dan komen membina diterima. Moga ianya menjadi panduan yang berharga buatku.

Sepanjang berpraktikal, banyak suka duka yang ku peroleh. Dan kebanyakannya adalah semasa aku mengajar di kelas 4 Damar. Kelas yang sangat terkenal kerana kenakalannya serta agak bermasalah dari sudut disiplin.

Kadang aku berputus asa, kadang aku kembali ingin berjasa pada kelas ini. Banyak perkara menyakitkan hati yang telah mereka lakukan, namun sebagai guru, sudah tentu perasaan sayang mengatasi kemarahan yang melanda.

Namun, dalam kelompok itu, sudah tentu ada pengubat duka. Dua orang pelajar perempuan Melayu; erma dan mira menjadi penguatku. Juga Nazri dan Hafiz, Khir dan Ng. Aku mengajar kerana hanya mereka yang ingin belajar. Yang lain, harus diugut juga dipaksa. Amukan juga menjadi ancaman buat mereka, huhu.

Dalam kemarahan itu, Hafiz kadang menjadi penyeri. Iringan berbalas pantun menyeri suasana kelas. Menggalakkan dia dan kawan2 untuk masuk ke makmal. Pelbagai cara harus aku lakukan untuk menarik minat mereka. Dan sekarang, hanya berbaki lagi dua minggu. Modal ini yang aku gunakan. Dan mereka juga sangat rajin untuk masuk ke makmal, walaupun bukan untuk belajar, namun sekurang-kurangnya mereka tidak merayau-rayau dan ponteng.

Tarmizi, insan ini, entah apa lagi yang harus kulakukan untuk mengubah nya. Ya ALLAH, moga hidayahMU milik insan ini....



Ieesa

Zarith, Haqimi, Nazri dan Idham

Erma, Mira dan Nazri

p/s : Di atas adalah sebahagian gambar pelajar 4 Damar