Friday, July 23, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Aku dan Buku 7 : Persembahan Cinta Isteri Hassan Al-Banna


Alhamdulillah sudah selesai membaca buku ini. Buku kecil sebanyak 100 helai ini berjaya dihabiskan dalam masa sehari. Buku yang menceritakan tentang seorang wanita Latifah AsShuli, isteri kepada murabbi dakwah, As-Syahid Hassan Al-Banna.

Buku ini boleh dikatakan sebagai sambungan dari buku 'Cinta di Rumah Hassan Al-Banna' di mana buku ini lebih banyak menceritakan secara fokus tentang isteri as-syahid. Yang banyak memainkan peranan sebagai suri rumah tangga As-Syahid yang diketahui sangat sibuk dalam urusan dakwah. Maka Latifah telah menjalankan tugas dengan sebaiknya dalam mendidik anak-anak As-Syahid terutamanya sehinggakan As-Syahid tidak gusar untuk meninggalkan isteri atas tanggung jawab dakwah kerana sangat mempercayai kewibawaan isteri beliau untuk mengemudi rumah tangga apabila beliau tiada.

Adalah sangat sesuai untuk para wanita di sana untuk mendapatkan buku...Wallahu 'alam.

Sekufu


Assalamualaikum wbt..

Terasa nak menulis, sejak akhir-akhir ini memang sangat rajin menulis, kerana kelapangan yang ada, perlu dimanfaatkan sebaiknya. Apatah lagi ada banyak yang ingin ditulis mahupun dikongsi.

Alhamdulillah semalam sempat menonton rancangan Semanis Kurma di TV9, yang tajuknya 'Abai Nafkah'. Menonton bersama suami, sangat khusyuk beliau mendengar sehingga tertidur kerana pening kepada akibat terkena hujan pulang dari kerja semalam. (Kesian abang, huhuhu)

Apa yang ingin dikongsi di sini bukan tentang keseluruhan topik yang dikupas tetapi tentang segmen permulaan di mana menampilkan seorang perempuan yang meluahkan perasaan tentang pengabaian nafkah oleh suaminya. Daripada kata-katanya, (wajahnya disembunyikan) beliau adalah seorang eksekutif di salah sebuah syarikat manakala suaminya hanyalah kerani biasa.

Benda ini membuatku sedikit tertarik, akal mula ligat berfikir. Dalam hal ini, bukan ingin aku persoalkan salah siapa, tapi ada satu sisi yang perlu dilihat. Iaitu soal 'sekufu'.

Sekufu
Sekufu sangat penting dalam hal ehwal perkahwinan ISLAM. Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya. Dalam kes di atas, sebenarnya perlu dilihat tentang masalah sekufu ini. Lalu, artikel2 di internet menjadi rujukan saya untuk memahami hal sekufu ini.

Dipetik dari artikel ini, Menurut Penolong Profesor di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Dr. Amilah Awang Abd. Rahman dalam hal ini menjelaskan, apabila kita membicarakan soal sekufu atau `kafaah', kita tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara yang terpisah daripada agama itu sendiri.

Saya sangat tertarik dengan kata-kata Dr Aminah , ``Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai `al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir.

``Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan.

``Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

``Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga,'' jelas Dr. Amilah.

Jika ingin mengetahui lebih, eloklah pembaca untuk membaca keseluruhan artikel di atas, cumanya, saya ingin menekankan di sini, bagaimana soal sekufu bukan lah hanya sekadar dilihat dari segi harta dan pangkat, malah ia boleh dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dll. Bukan sekadar `DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua'.

Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama
Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama)
Kufu dari segi keturunan: seperti sama sebangsa

Kufu dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.: Inilah jenis kufu yang perlu dititikberatkan oleh wali dan bakal pengantin. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaan akan menjamin rumahtangga bahagia.

Pasangan yang diijabkabulkan dengan keimanan tahu tanggungjawab masing-masing. Tidak timbul masalah pengabaian nafkah. Tidak timbul masalah dera mendera. Tidak terjadi suami main kayu tiga. Tidak terabai pendidikan dan makan pakai anak-anak. Tidak ada rungutan dan cemuhan dari isteri jika suami tidak mampu menyediakan banglo dan lauk enak setiap hari. Semuanya berjalan dengan tenang, sabar dan penuh kesyukuran.

(sumber :http://drhasanah.com/2007/apa-ada-pada-sekufu/)


Dalam soal ini, ayuh kita lihat pada sejarah. Kita tengok pada Sirah Nabi Junjunhgan kita, Rasulullah SAW bagaimana kita harus melihat betapa sifat taqwa, redha serta qanaahnya Saidatina Siti Khadijah, bangsawan Arab yang kaya-raya menerima Raslulullah SAW sebagai suami. Tidak timbul soal harta siapa yang paling banyak, tetapi bahkan harta beliau diinfakkan sepenuhnya untuk perjuangan suami tercinta....

Mampukah kita sebagai para isteri untuk mencapai tahap seperti itu?? Tepuk dada, tanyalah iman.

p/s : Ya ALLAH, jadilah aku hamba yang bersyukur..

Wednesday, July 21, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Aku dan Buku 6 : Secangkir Teh Pengubat Letih


Assalamualaikum wbt..

Alhmadulillah berjaya juga menghabiskan buku ini. Buku hasil tulisan, idea dan pengalaman Ustaz Hasrizal menjadi pilihan untuk berada dalam senarai keutamaan yang perlu dibaca. Setelah Murabbi Cinta, buku ini menyusul sebagai bahan bacaan. Kain yang belum berlipat ditolak ketepi terlebih dahulu kerana ingin menghabiskan buku ini sekejap tadi. Sekejap lagi kena sambung tugas housewife sambil menyelak buku baru untuk dibaca.

Seperti biasa, bukan untuk menulis sinopsis, cuma ingin berkongsi tentang apa yang saya dapati sepanjang membaca buku ini. Pada awalnya, diri seolah menolak untuk membaca memandangkan di awal pembacaan, boleh dikatakan agak berat, tidak seperti Murabbi Cinta, yang fokus utamanya adalah cinta. Hehe... Tetapi lama kelamaan buku ini diteliti dari helai ke helai. Sungguh menarik pendekatan yang digunakan.

Secangkir Teh Pengubat Letih

Buku ini merupakan kisah penulis sepanjang pengembaraannya di Turki. Kisah suka duka di Bumi Khalifah. Ada beberapa perkara yang menarik dalam buku ini. Sebenarnya banyak, tapi perkara ini mengundang otakku untuk ligat berfikir.

1. Keindahan Ukhwah Islamiyyah
Betapa walaupun dua manusia dibezakan kerana bangsa dan bahasa, itu bukan penghalang untuk tautan ukhwah ini terus bersemi terutamanya antara Ustaz dan sahabatnya, Fathi. Ukhwah atas dasar iman, tiada yang dapat memutusnya. Ukhwah atas dasar perjuangan. Dua jiwa yang membawa satu hala matlamat yang sama, sentiasa berfikir tentang ummah.

2. Aku Pedulisme
Perkara yang tidak dicaknakan oleh rakyat Malaysia. Tapi tidak pada bangsa Turki. Mereka sangat peka pada isu di sekeliling, kerana itu Siaran Berita di Tv adalah menjadi keutamaan. Tiada isu untuk memboikot saluran TV arus perdana, kerana mereka punya pilihan untuk menonton saluran TV pihak lawan. Tidak seperti di Malaysia, kononnya mengamalkan demokrasi, namun lesen dihentikan, maklumat disekat untuk dicapai oleh rakyat. Huhu

3. Kejatuhan sebuah Khilafah
Sungguh, buku ini membuka mataku. Buku ini memberi sinar harapan pada diri sendiri untuk lebih mengkaji tentang Khilafah Othmaniyyah. Bagaimana sebelum ini aku menolak untuk mengetahui, kerana pada zaman ini runtuhnya sistem khilafah. Aku seakan sedih untuk mengetahui sisi gelap zaman pemerintahan ini. Namun, buku ini memberi permulaan pada perkenalan ini. Itulah pentingnya sejarah. Sejarah ini bukan sebagai tanda untuk umat ISlam terus diam dan bersedih, tapi melalui ratapan sejarah ini lah umat Islam perlu bangkit untuk kembali menegakkan Sistem Khalifah, sistem pemerintahan Islam. Dan kerana itu, dan atas kesedaran itu, cahaya Islam dilihat kembali bersinar di bumi Turki.

4. Sekularisme yang menggila
Iya, bumi Turki dilanda sekularisme anjuran Laknatullah, Kamal Attartuk. Bukan si laknat itu untuk dibicarakan, tapi bagaimana sekularisasi ini membawa kepada anak-anak muda belia di Turki langsung tidak mengenal nenek moyang mereka. Ya, nenek moyang mereka yang hebat pada zaman Othmaniyyah dahulu. Bahkan mereka dimomokkan tentang buruk2 sahaja berkaitan Islam. Islam dipisahkan sepenuhnya dari kehidupan. Mereka langsung tidak tahu tentang sejarah itu. Kerana sejarah itu dihapuskan secara total dalam lembaran kehidupan mereka.

5. Ironi negara pengeluar tudung
Tudung Turki, itu antara koleksi tudung yang aku ada. Tetapi di Turki walaupun mereka mengeluarkan fabrik tudung, tetapi Muslimah di sana tidak dibenarkan untuk memakai tudung. 'Mereka' sangat takut pada entiti agama. Oh, sungguh malang. Dalam hal ini, boleh kita rasai bagaimana seorang mahasiswa perlu memilih antara iman dan impian sebagai akibat pilihan yang perlu dibuat kerana tidak dibenarkan untuk mengambil peperiksaan akhir di sebuah instituti pengajian kerana hijab yang dipakai. Seorang ahli parlimen Muslimah Turki juga dihalau serta hilang kerakyatan kerana hijab yang dipertahankan. Alhamdulillah, iman mereka sangat teguh. Bagaimana dengan kita di Malaysia. Kita belum sampai tahap perlu membuat pilihan yang kritikal itu. Namun masih berdolak dalih dengan fesyen tudung yang pelbagai. Ingat, matlamat x menghalalkan cara.

6. Suasana Ramadhan yang dirindui
Melalui penceritaan Ustaz, diriku cuba merasai suasana Ramadhan di sana. Ramadhan yang hidup. Bagaimana alunan bacaan Quran oleh pada Huffaz menghiasi bibir senja di Turki sementara menantiakn ifthar. Iya, kerana Ramadhan bulan Ummah. Jadi ummah di sana benar-benar menghidupkannya. Tapi tidak di Malaysia, sebelum puasa lagi, sudah kalut hendak beraya. Bibir senja, manusia kalut ke bazar Ramadhan, memenuhi tnututan nafsu mencari juadah berbuka, walau seawal jam 3 petang. huhu. (Sinikal). Lagu-lagu raya sudah dipasang, seolah tidak sabar agak Ramadhan cepat pergi. Aduh ummatku!

Mungkin itu serba sedikit yang ingin dikongsi. Bagaimana penceritaan Ustaz Hasrizal seolah-olah membawaku untuk turut berada di Turki. Dulu, semasa membaca Rindu Bau Pohon Tin, seolah berada sekejap di Jordan, tapi kali ini terasa lama di Turki.

Terima kasih buat beliau atas terhasilnya buku ini. Membawa kepada ligatnya akal ini berfikir, setelah sekian lama terasa otak ini tepu dan tertipu dengan kehidupan yang melalaikan.

p/s : Ateh kembali melipat kain setelah selesai menulis post ini. Huhu
Thursday, July 8, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Aku dan Buku 5 : Murabbi Cinta


assalamualaikum wbt..


Alhamdulillah, selesai juga menghabiskan bacaan. Buku Murabbi Cinta menarik minatku untuk menghabiskannya secepat mungkin. Untaian kata bersalut hikmah sungguh mempesona. Buku yang sangat sesuai buat mereka yang bakal dan sudah mendirikan rumah tangga, terutamanya kepada pasangan muda belia.

Saya menyeru buat mereka di luar sana untuk menghayati buku ini sebagai panduan yang berguna. Kisah benar dan pengalaman realiti hidup yang diselubungi cinta. Apatah lagi mengambil contoh daripada kisah junjungan mulia, Rasulullah SAW. Bagindalah murabbi cinta terbaik sepanjang zaman.


"Sesungguhnya telah ada pada(diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu(iaitu) bagi orang yang mengharap(rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah" (al-ahzab: 21)

Masa yang lapang ini teruatamanya buat lepasan graduan yang sdg menanti pekerjaan, haruslah dimanfaatkan dengan membaca buku selain ke majlis2 ilmu. Ayuh, membaca! Julai bulan membaca!

p/s : Sekarang sedang membaca buku 'Secawan Teh Pengubah Letih'

Friday, July 2, 2010 | By: CahayaMatakuYangMenyaksikan

Sifat pemaaf Rasulullah

NABI Muhammad SAW ialah seorang nabi dan rasul yang memiliki akhlak terpuji. Baginda seorang insan mulia yang sanggup memaafkan kesalahan orang lain.

Pada suatu hari, ketika baginda sedang berehat-rehat, datanglah seorang wanita Yahudi membawa hidangan yang lazat berupa kambing panggang.

Wanita itu mengetahui bahawa Rasulullah amat gemar kambing panggang.

Bahagian kegemaran baginda ialah paha kanan bahagian depan. Lalu wanita tersebut menabur racun di atas kambing panggang itu.

Dia melebihkan racun di paha kanan hadapan kambing yang dihidangkan itu.

Setelah melihat hidangan itu, maka Rasulullah pun berasa lapar. Selepas membaca bismillah, baginda pun makan dengan berselera sekali.

Baginda makan bersama seorang sahabat, Bisyir bin Barra bin Ma'rur. Namun, sewaktu baginda sedang mengunyah makanan itu, timbul perasaan was-was di hati.

Rasulullah pun meluahkan kembali daging kambing panggang yang sedang dikunyah.

Ternyata suara hati baginda itu benar. Bisyir bin Barra bin Ma'rur telah menjadi korban. Sahabat baginda itu meninggal dunia kerana termakan racun dalam makanan tersebut.

Rasulullah pun bertanya dan wanita Yahudi itu mengaku secara berterus terang tanpa berselindung berkata: "Aku mahu menguji kamu. Jika engkau seorang rasul, sudah pasti engkau akan mendapat petunjuk mengenai hal ini. Tetapi kalau engkau hanya orang biasa, maka aku pasti merasa puas kerana dapat menyingkirmu kerana engkau telah banyak membawa kemusnahan kepada kaum Yahudi."

Rasulullah mendengar penjelasan wanita itu dengan tenang. Kemudian, baginda pun memaafkan wanita itu. Baginda tidak menghukum wanita itu walaupun perbuatannya itu telah mengakibatkan kematian seorang sahabat baginda.

Baginda sanggup memberi kemaafan kepada seorang wanita yang ternyata mahu membunuh baginda.

(sumber : Bicara Agama, Utusan Malaysia Online)