Showing posts with label Raya. Show all posts
Showing posts with label Raya. Show all posts

Wednesday, September 22, 2010

Jom Puasa 6

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, hari ni, sudah masuk 14 Syawal. Lagi 16 hari untuk bulan ini berlalu pergi. Makanya, peluang yang ada ini, ayuh lah kita sama-sama berpuasa enam hari di bulan Syawal. Alhamdulillah bagi mereka yang telah memulakan awal2 lagi.


Ia, kita berpuasa untuk meraih ganjaran dan nikmat yang telah dijanjikan. Adakah kita sudah tidak mampu nak mendidik diri zahir dan batin sedangkan kita berjaya dididik selama sebulan di bulan Ramadhan? Adakah kerana terlalu berpesta makanan di awal hari raya hinggakan perut kita langsung tidak boleh menahan lapar walau seketika. 

Ingatlah, tarbiyyah di bulan Ramadhan adalah untuk kita mampu berhadapan dengan segala jejakan nafsu untuk 11 bulan yang berikut. Jangan hanya penangan beberapa hari di awal raya membuatkan kita gagal untuk mengingatkan kembali tarbiyyah Ramadhan.

Apa yang saya katakan di atas tidak lain tidak bukan untuk diri ini juga. Kalau diikutkan, saya merancang untuk memulakan puasa pada hari Isnin yang lepas lagi. Tapi pada hari Isnin dan Selasa lepas, saya gagal untuk meneruskan puasa. Akibat keletihan badan yang amat selain desakan nafsu yang tidak mampu bertahan meneruskan puasa.

Dan hari ini, alhamdulillah berjaya memulakan untuk berpuasa. Ayuh sahabat di luar sana, sama2 kita laksanakan sunat ini agak memperoleh ganjaran. Artikel yang saya post di sini, ada membincangkan tentang kelebihan-kelebihan puasa 6 ini. Bagi yang perempuan, masa yang ada ini bolehlah digunakan untuk mengganti puasa Ramadhan yang lepas. Tidak salah untuk menggantikan puasa awal2 lagi agak tidak terkejar-kejar apabila hendak tiba Ramadhan yang seterusnya.



Tuesday, September 21, 2010

Puasa Syawal tampung kekurangan ibadah Ramadan

Oleh Aminudin Mansor

2010/09/14

Menumbuhkan kekuatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwat 

SETELAH berpuasa selama sebulan pada Ramadan dan merayakan Aidilfitri, umat Islam sangat digalakkan berpuasa sunat Syawal selama enam hari bagi mengimbangi kesihatan yang telah menikmati pelbagai makanan ketika hari raya. Puasa enam hari pada Syawal juga dapat melatih kembali hati dan diri daripada godaan nafsu. Puasa sunat Syawal boleh dilakukan enam hari pada bulan Syawal, berturut-turut atau terpisah asalkan tidak sampai melewati bulan berkenaan. Pada hari raya pertama dilarang berpuasa. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa berpuasa Ramadan (penuh) lalu diikuti dengan berpuasa enam hari pada Syawal maka dia seperti berpuasa seumur hidup.” – (Riwayat Muslim). 

Sementara dalam satu hadis yang lain Nabi SAW yang bermaksud: “Berpuasa sebulan (pada Ramadan itu disamakan) dengan sepuluh bulan berpuasa dan berpuasa enam hari selepasnya (di bulan Syawal disamakan) dengan dua bulan berpuasa, maka yang sedemikian itu (jika dicampurkan menjadi) genap setahun.” – (Riwayat ad-Darimi). 

Puasa sunat Syawal ini adalah untuk menampung kekurangan yang ada ketika puasa Ramadan kita. Misalnya, kebanyakan daripada kita hanya berpuasa secara menahan lapar dan dahaga saja. Sedangkan, perkara lain harus diberi perhatian seperti puasa telinga, lidah dan sebagainya. Maka puasa sunat Syawal adalah untuk menampung kekurangan yang terdapat dalam puasa fardu. 

Umat Islam hendaklah banyak melakukan amalan sunat seperti banyak bersembahyang sunat, membaca al-Quran, bersedekah dan berpuasa sunat untuk menguatkan iman kita. Selain itu, kita dapat mengemaskan amalan wajib, kita juga dianjurkan memperbanyak amalan sunat. 
Ini disebabkan amalan sunat menyempurnakan amalan wajib kita. Meninggikan pangkat dan darjat kita di syurga serta dapat meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Dalam melaksanakan amalan sunat ini, perlu kita ingat, jangan sampai melalaikan perkara yang wajib. 

Sebagai contoh kita hendak mengejar tahajud malam sehingga terlewat dan tertinggal sembahyang Subuh atau tidak berpuasa Ramadan tetapi menunaikan puasa sunat Syawal. Selain itu, banyak melakukan sedekah dan ibadah sunat tetapi tidak bersilaturahim sesama manusia kerana bersilaturahim itu hukumnya wajib dan perlu dilaksanakan dulu. 

Imam Al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin, menjelaskan mengenai tatacara berpuasa iaitu jika kamu berpuasa, janganlah kamu menyangka bahawa berpuasa itu cuma meninggalkan makan, minum dan bersetubuh. Bahkan juga menahan mata daripada memandang sesuatu yang dibenci oleh Allah, menahan lisan daripada mengucapkan kata-kata yang tidak bermanfaat, menahan telinga daripada mendengar sesuatu yang diharamkan oleh Allah, kerana sesungguhnya pendengaran itu menemani orang yang berbicara. 

Selain itu menurutnya lagi, masing-masing daripada keduanya adalah pengumpat. Begitu juga kamu mencegah seluruh anggota tubuh seperti mencegah perut dan kemaluan. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa tidak dapat meninggalkan ucapan dan perbuatan dusta (waktu berpuasa) maka Allah tidak menghendaki puasanya, hanya lapar dan dahaga saja.” – (Riwayat Al Bukhari). 

Ibadah puasa mengandung beberapa manfaat yang besar, antaranya adalah menguatkan kemahuan dan menumbuhkan kekuatan dan kedapatan jiwa manusia dalam mengawal nafsu syahwatnya. 

Puasa juga perisai kepada kekuatan rohani. Pelbagai penyakit rohani dapat dihalang dengan berpuasa. Antaranya ialah hasad dengki, sombong, riak, memfitnah, mengumpat, melakukan perbuatan zalim, berdusta, marah, mencaci-maki, mungkir janji, bercakap bohong dan menipu. 

Dengan berpuasa termasuk puasa sunat dapat merawat pelbagai penyakit rohani seperti mengingati Allah SWT, mengerjakan solat, bertaubat, takut kepada Allah SWT, mujahadah, musahabah diri, sabar, qanah, warak, zuhud, tawaduk, istiqamah, takwa dan menjauhkan makanan dan minuman haram. 

Wednesday, September 15, 2010

Kisah Raya

Assalamualaikum wbt

Salam lebaran buat semua. Hari ini sudah menjejak 6 Syawal, bagaimana dengan raya anda semua? Apapun, raya kan sebulan, tapi tak perlu kot untuk beraya sakan. Cukup sekadar jangan membazir. Jangan dilupa juga untuk berpuasa enam hari di bulan Syawal. 

Raya kali ini amat bermakna bagiku. Alhamdulillah, ALLAH memberi peluang kepadaku untuk mencium tangan suami ku yang tersayang, bermaafan di pagi raya. Solat sunat Aidilfitri ditunaikan di surau di kawasan perumahan Taman Indah Jabi. Kemudian, bergerak ke kubur arwah mak mertua.

Raya pertama dan kedua menjadi ruang untuk aku melawat saudara-mara di sebelah suami. Dari Alor Setar, ke Kuala Kedah, kemudian ke Guar Cempedak sehingga ke Sungai Petani. Raya pertama dan kedua begitu terisi. Kesempatan yang ada digunakan untuk mengenali saudara-mara suami.

Raya keempat sampai ke Kelantan. Ummi ku memasak nasi dagang, dan tengah hari tersebut abangku bertolak pulang ke kem di Johor. Kemudian, kami ke umah mok long, kerana ada hari terbuka rumahnya. Raya kelima iaitu semalam aku berpeluang ke rumah sahabatku, Kak Su dan alhamdulillah, bertemu sahabat-sahabat yang lain iaitu, KAk Ijan, KAk AIn, Kak Mun n Kak Z. Moga ukhwah ini berpanjangan.InsyaALLAH.

Itulah serba sedikit kisah raya kali ini. Hari ini akan bersiar-siar di pantai. Nak bawa suami bersiar-siar di sekitar Kelantan.

Wallahu 'alam.

Saturday, September 11, 2010

Salam 'Idulfitri

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, berpeluang untuk menulis di laman ini. Seharian beraya di rumah saudara-mara suami di Kedah. Maka, tiada kesempatan untuk membuka laptop. Apatah lagi, line internet yang agak 'slow' di sini.

Apapun, kesempatan yang ada, ingin saya ucapkan Selamat Hari Raya 'Idulfitri. Seribu Kemaafan. Taqabbalallahu Minna Wa Minkum...


Ikhlas dari,
Ateh & Suami

Wednesday, September 8, 2010

Akhirnya..balik kampung

Assalamualaikum wbt

Sedar tak sedar tinggal lagi sehari kita akan berpuasa. Sedih rasa di hati. Mungkinkah kita kan bertemu lagi dengan Ramadhan ini? Wallahu'alam.

Alhamdulillah, semalam saya dan suami sudah selamat sampai di Pokok Sena, Kedah. Kampung halaman suami. InsyaALLAH saya akan berada di sini sehingga raya ke-3. Raya ke-4 pagi saya akan tiba di Kelantan. 

Gunung Riang, Kedah (Gambar : Google)

Memandangkan kami masih belum ada kereta, makanya bas adalah pilihan kami, hehe. (x kan nak naik flight kot). Dan InsyaALLAH, bak kata abang, ini kali terakhir menaiki bas untuk pulang beraya kerana kami akan memiliki kereta tak lama lagi. (InsyaALLAH, moga perancangan kami berjalan lancar).