Showing posts with label PENDIDIK. Show all posts
Showing posts with label PENDIDIK. Show all posts

Wednesday, February 9, 2011

Science Teacher

Assalamualaikum...

Hari ini sudah 9hb Februari. Sedar tak sedar sudah masuk bulan kedua saya bergelar pendidik. Mungkin kerana itu blog ini kadang bagaikan tiada serinya, kosong dari sebarang catitan.

Alhamdulillah, saya sangat bahagia bergelar seorang guru. Boleh dikatakan saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan belajar. Ia, belajar untuk mendidik.

Sepanjang sebulan lebih ini, pelbagai karenah pelajar yang saya sudah temui. Sungguh, banyak pengalaman diraih walaupun tempoh pengenalan masih awal. 

Mengajar Sains, jadual saya yang asalnya hanya lah 20 waktu. Tetapi sekarang, saya perlu mengambil alih tugas guru yang cuti bersalin, menjadikan saya sekarang mengajar 25 waktu. Mungkin masih lagi sedikit berbanding kawan-kawan yang lain.



Alhamdulillah, saya bersyukur kerana subjek yang diajar masih lagi dalam bidang saya, walaupun bukanlah opsyen atau major saya iaitu Kimia. Saya menerima hakikat itu. Bahkan saya sangat 'enjoy' mengajar subjek ini. Ia, subjek Sains, subjek yang mendalami kajian tentang segala ciptaan Tuhan.

Dan sekarang, saya mengajar Sains untuk Ting. 1, 3 4 dan 5 dengan 25 waktu per minggu.

kredit gambar : Google

Ya ALLAH, permudahkan urusan hambaMU ini...

p/s : Alhamdulillah

Wednesday, January 5, 2011

Bermulanya Alam Kerjaya

Assalamualaikum wbt

Sudah lama blog ini ditinggalkan sepi. Sepi dari penulisan mahupun artikel. Segalanya mungkin diri ini masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

Kehidupan baru di sini ialah kehidupan di alam kerjaya. 3 Januari 2011, bermulalah kisahku sebagai seorang guru. Alhamdulillah atas nikmat dan kesempatan ini. Bukan semua yang mahu serta berminat dalam kerjaya ini. 

Sudah 3 hari berlalu, setiap hari aku memandu sendiri ke sekolah. Perlu turun seawal 6.45 minit. Walaupun jarak ke sekolah tidak jauh, namun kerana ingin mengelak kesesakan lalu lintas, bertolak awal pagi menjadi pilihan. Apatah lagi, untuk menyenangkan ku untuk 'parking' kereta di ruang yang lebih sesuai.

Diberi taklifan mengajar Sains tingkatan 4 dan 5, alhamdulillah diri menerima dengan reda. Aku juga bersyukur, kerana pelajar-pelajar di sini bertingkah laku sangat baik. Apa yang diharapkan, agar ianya berkekalan. Agar aku selesa untuk menumpahkan ilmu untuk mereka.

Menjadi guru bukanlah senang. Semua orang mungkin boleh mengajar, tetapi tidak semua yang mampu mendidik. Mendidik sepenuh hati, seikhlas hati.


Setiap hari, dalam doaku, moga aku mampu menjadi guru terbaik untuk anak didikku. Semoga gaji yang kuperoleh, adalah halal, hasil usaha gigihku. AKu langsung tidak mahu gaji yang kuperoleh tidak setanding dengan usahaku.

Buat kawan-kawan seperjuangan, selamat bertugas sebagai seorang guru. Jadilah guru juga pendidik. Ingat, jika kita mengajar seikhlas hati, semoga kerahmatan dan keredhaaN ALLAH mampu kita raih untuk kita bergelar jutawan di akhirat kelak. 

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).


~Celik Insan Kerana Guru Unggul (CIKGU)~

Friday, December 17, 2010

Orientasi

Assalamualaikum wbt

ALhamdulillah, menghirup udara segar di hari Jumaat, penghulu segala hari. Sudah seminggu bermulanya orientasi sebenar, alhamdulillah banyak yang kuperoleh.

Orientasi
Sebenarnya, orientasi kepada guru baru masih baru diperkenalkan. Kerana itu, ramai guru senior agak pelik bilamana saya menyatakan perlu menjalani orientasi. Pada asalnya, KPM menetapkan tarikh orientasi kami selama 3 bulan seharusnya bermula Januari 2011. Tetapi, sekolah saya ini mahu melaksanakan agak awal iaitu pada musim cuti sekolah ini, huhu.

Sudah menjadi insan terpilih untuk bekerja pada musim cuti. Alhamdulillah, banyak perkara dan ilmu baru yang diperoleh. Kami mendapat jadual orientasi untuk mendengar segala jenis taklimat selama dua minggu bermula 13hb Disember yang lepas. Berikut adalah taklimat yang perlu saya ikuti bersama lima orang lagi guru baru yang lain.


PROGRAM ORIENTASI DAN MENTORING GURU PERMULAAN 2010

BIL
KANDUNGAN ORIENTASI
PELAKSANA
TARIKH/ MASA
TEMPAT
1
P & P Berkesan
Etika Kerja
Tonggak 12
SKPM
Penolong Kanan Kokurikulum

20 - 22/11/2010
9.00 pagi – 12.00 tengah hari
Bilik Tayangan
2
Pengurusan & Pengendalian Aktiviti Kokurikulum
Penolong Kanan Akademik
13/12/2010
9.30 pagi – 11.30 pagi
Bilik Mesyuarat
3
ICT dalam Bilik Darjah
Guru Cemerlang DG48
15/12/2010
Bilik Mesyuarat
4
Pengurusan Hal Ehwal Murid
-         Dokumen murid
-         Pendaftaran & pertukaran murid
-         Pengurusan disiplin
-         Pengurusan kebajikan murid
-         3K
-         Pengurusan aktiviti PIBG & komuniti
-         SPBT
Penolong Kanan HEM

16/12/2010
10.00 pagi
Bilik Mesyuarat
5
Persediaan Mengajar
Rancangan Pelajaran Harian
Rancangan Pelajaran Tahunan
Pengurusan Buku Rekod Mengajar
GKMP Vokasional & Teknik


17/12/2010
10.00 pagi
Bilik Mesyuarat
6
Kepimpinan dalam Organisasi
Visi dan Misi Sekolah
Polisi dan Peraturan Sekolah
Pengetua

21/12/2010
Bilik Mesyuarat
7
Kemudahan Perkhidmatan
(urusan pelantika, gaji dsb)
Pengurusan & Prosedur Kewangan Sekolah
Pengurusan Organisasi Pejabat
Pembantu Tadbir Kanan dan Pembantu Tadbir

23/12/2010
11.00 pagi
Bilik Tayangan
8
Budaya Kerja Cemerlang
Guru Cemerlang JUSA C
23/12/2010
9.00 pagi
Bilik Tayangan
9
Headcount/PATS/SAP
Setiausaha Headcount/SAP
24/12/2010
9.00 pagi
Bilik Tayangan
10
Guru Sebagai Jutawan Akhirat
Penolong Kanan Petang
24/12/2010
11.00 pagi
Bilik Tayangan



InsyaALLAH saya akan kongsikan sedikit-sebanyak ilmu yang saya peroleh di lain waktu. Alhamdulillah rasa sangat bertuah ditempatkan di sini dan semakin menyukai persekitaran serta budaya kerja di sini.

Selain mendengar taklimat, kami juga menolong sedikit sebanyak menolong para Penolong Kanan menyiapkan buku pengurusan bersama guru-guru GSTT. Setiap hari pulang jam 1.00 petang.

Terasa sangat bertuah walaupun memulakan orientasi sedikit awal berbanding rakan-rakan yang lain. Sekurang-kurangnya kerja yang kami lakukan, mengeratkan ukhwah kami dengan pihak pentadbir selain pelbagai urusan pentadbiran dan pengurusan dapat kami pelajari sedikit sebanyak. Alhamdulillah...

p/s : Minggu depan banyak kerja menunggu...


Thursday, November 25, 2010

Alhamdulillah, sudah melapor diri

Assalamualaikum wbt

Hari ini baru ada keinginan mahu menulis tentang posting. Alhamdulillah, 22 hn November yang lepas, selamat melapor diri di Kompleks Belia & Kebudayaan Selangor di Seksyen 7, Shah Alam. Saya dan suami bertolak dari rumah agak lewat memandangkan kami bangun agak terlambat akibat keletihan. Kami baru sahaja sampai dari Kelantan jam 4.00 pagi tersebut.

Dengan keadaan hujan & trafik yang sesak, sampai di dewan tersebut jam 8.15 pagi. Agak lewat sedikit, terus melapor diri & menikmati sarapan pagi yang disediakan. Suami pula meletakkan kenderaan seterusnya terlelap dalam kereta akibat keletihan. Kesian juga pada abang, tidak dapat menikmati rehat secukupnya lagi. Pengorbanan suamiku amat aku hargai...

Di dalam dewan, alhamdulillah bertemu rakan seangkatan seperti Adibah, Kak SIkim, Kak Faizah dan Kak Ira serta Kak Nurul. Kami duduk berdekatan iaitu di barisan akhir. Menikmati beberapa taklimat seterusnya masing-masing menanti dalam debaran untuk mengetahui sekolah mana yang akan ditempatkan.

Mana tidak berdebar, kami masing-masing sudah tentu mahu berada dekat dengan suami, agar tidak jauh dari rumah. Dan Alhamdulillah, saya ditempatkan di sebuah sekolah di Petaling Jaya. Pada asalnya, saya merasakan sekolah itu agak jauh, namun setelah melapor diri di sekolah pada petang tersebut, pengawal serta guru senior di situ memberitahu akan kewujudan jalan baru. Alhamdulillah, melalui jalan itu, hanya 15 minit sahaja jarak rumah sewaku dengan sekolah. Bahkan tidak perlu melalui tol.

Alhamdulillah, syukur atas rezki yang dikurniakan. Terima kasih buat suami yang setia menemani sepanjang sesi lapor diri, terima kasih juga buat semua yang mendoakan. Bermula saat ini, saya dengan rasminya bergelar guru.

Walaupun sudah musim sekolah, saya tetap perlu ke sekolah. Menyelesaikan urusan gaji selain mendapat tugasan dari pihak pentadbiran.

Buat semua rakan seperjuangan di luar sana, tahniah kerana sudah pun bergelar guru serta kakitangan awam. Berkhidmatlah dengan ikhlas. InsyaALLAH




P/S : sedang berkira-kira mahu membeli kereta 2nd hand. Viva atau kancil. X berani la nak bawa encik City itu ke sekolah. Huhu.. Tapi suami soh cuba bawa juga. 

Monday, November 15, 2010

Alhamdulillah..saya dapat posting di Selangor

Assalamualaikum...

Alhamdulillah atas nikmat ini.. Syukur kepada ALLAH atas keputusan penempatan ini. Tidak lupa juga buat semua yang mendoakan..Alhamdulillah.


p/s : Saya akan kembali punya mood untuk berblog..

Thursday, November 11, 2010

Posting oh Posting

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah masih bernafas di bumi Allah ini. Kebelakangan ini, saya memang jarang menulis. Yang ada hanya artikel yang saya rasa sangat sesuai untuk dibaca oleh diri sendiri juga mereka yang sudi menjengah blog ini.

Yup, mood saya untuk menulis kebelakangan ini sangatlah sedikit. Jatuh menjunam. Semuanya gara-gara posting. Sekarang, saya dan rakan-rakan seperjuangan yang lain sedang menantikan keputusan penempatan guru atau 'posting' setelah berjaya dalam temu duga tempoh hari.

Isu posting semakin kencang bila mana pada minggu lepas, sudah ada rakan yang mendapat surat posting bagi mereka yang mendapat tawaran ke Sabah & Sarawak. Mereka mendapat surat lebih awal memandangkan banyak perkara perlu diselesaikan sebelum menaiki belon, hehe.

Dan yang selebihnya, keputusan akan keluar pada 15hb November ini. Hari demi hari bagaikan lambat berlalu menantikan detik itu. Dan hari ini, mereka yang berada di Johor sudahpun mendapat surat penempatan dari JPN Johor. Maka, semakin gelisah la saya kerana sangat berdebar.

Apapun, saya doakan semoga saya dan rakan-rakan mendapat seperti apa yang diinginkan. Bak kata suami saya, beliau menyuruh saya untuk bersabar. USah terlalu gelisah. Jika ada rezki, adalah kan, insyaALLAH.

Rakan-rakan saya di luar sana, mohon doa dari kalian juga. Doakan kejayaan saya dan rakan-rakan yang lain. InsyaALLAH

Wassalam

Saturday, October 9, 2010

BM oh Cikgu BM

Assalamualaikum wbt

Bersiaran di hari minggu. Alhamdulillah, mengambil sedikit masa setelah selesai melakukan tugas-tugas rumah tangga. Berblog tidak ditinggalkan jika ada kelapangan. Disedari, sepanjang minggu ini, saya kurang menulis di blog. Saya akui, sejak bertugas sebagai guru ganti, masa saya agak suntuk. Apabila pulang dari sekolah, hanya sempat membuka laman sosial FB dan review beberapa blog insan lain. Kadang-kadang, agak kepenatan setelah pulang dari sekolah.

Dan saya juga sedari, saya tidak lagi berkongsi tentang kisah di sekolah. Hari ini, mood kerajinan yang ada digunakan sebaiknya. Saya hanya ingin menceritakan serba sedikit apa yang berlaku sepanjang persekolah minggu ini. 



Cikgu BM
Sebagai guru ganti kepada subjek itu, maka saya harus mengajar subjek ini. Seperti yang diketahui, saya hanya perlu mengajar pelajar tingkatan 4 memandangkan pelajar ting..5 sedang menjalani peperiksaan percubaan SPM. Dua kelas yang perlu saya ajar. Saya klasifikasikan kelas pertama sebagai kelas yang agak pandai kerana mereka adalah pelajar 'pure science'. Oh, saya sepertinya tidak perlu mengajar kelas ini memandangkan mereka merasakan mereka sangat pandai dalam subjek ini. Buat tugasan atau latihan setelah saya mengugut serta memaksa. Dan itupun hanya segelintir yang menghantar. Makanya, saya membuat keputusan untuk mengajar mereka yang berminat sahaja. Kata mereka, "Don' worry cikgu, kitorg dah cover semua subjek BM ni kat tusyen". Oh, never mind. Mereka kan tersangat pandai. Masa BM digunakan untuk menjawab soalan Kimia, Fizik, Biologi mahupun Add Math. Tidak mengapa, at least I've done what I should do.

Untuk kelas kedua pula, mereka adalah kelas sains perakaunan, yang juga mengambil subjek sains tulen kecuali biologi. Kelas ini tidaklah sepandai kelas yang pertama, tetapi sangat terkenal di kalangan guru akibat kebisingan serta kenakalan pelajarnya. Dan kelas ini, saya bertindak sebagai guru kelas sementara. Pernah sekali saya mahu mengajar peribahasa, mereka berkata, " Cikgu, baik kita main teka-teki". Aduh, seingat saya, mahu mengajar kelas ini serta ingin menyuruh diam, kata ugutan perlu diberikan. " Saya akan tulis nama awak dalam buku kawalan ni," selain "Saya tambah markah penalti baru tahu" atau "Saya tarik markah bonus untuk mata kokurikulum awak nanti". Dan alhamdulillah saya berjaya menyuruh mereka membuat karangan di dalam kelas walaupun hanya beberapa kerat yang hantar.

Apabila berbincang dengan ketua panitia BM, berasa lega di hati saya. Beliau yang mejanya di sebelah meja saya juga berasal dari Kelantan. Apabila meluahkan masalah kepada beliau tentang itu, beliau mengatakan, awak ajar serta bagi sahaja latihan. Mereka nak dengar atau mahu buat bukan urusan kita lagi. Kerana kita sudah cuba yang terbaik. Saya bukan tidak mengajar langsung, dan saya rasa saya bahagia untuk mengajar mereka yang betul-betul mahu belajar.

Dan minggu depan, saya hanya ada dua hari lagi untuk mengajar pelajar tingakatan empat memandangakan mereka akan menghadapi peperiksaan akhir tahun. Saya tahu, lepas ini mereka akan sibuk mahu bertanya saya tips peperiksaan. Hahaha.

Habis tingkatan 4, berhadapan pula dengan pelajar tingkatan 5 yang bakal tamat peperiksaan percubaan SPM minggu depan. Kita tengok pula bagaimana nanti.

p/s : Saya hanya ada lagi 15hari lagi sebagai guru ganti. Alhamdulillah, hari demi hari ada saja pengalaman baru. 

Monday, October 4, 2010

Guru sudah jadi kerani

Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid


2010/09/26
     
BESARNYA cabaran dan tanggungjawab dipikul guru masa kini menimbulkan pertikaian di kalangan masyarakat adakah golongan itu mampu melaksanakan amanah dengan sempurna.

Lebih menyedihkan, golongan itu turut menjadi sasaran kecaman masyarakat jika gagal melahirkan pelajar cemerlang akademik dan sahsiah diri menyebabkan guru semakin terdesak serta tertekan.Bukan sekadar mendidik, pelbagai tuntutan kerjaya tidak sepatutnya kini mereka galas menjadikan tumpuan terhadap proses penjanaan dan pembelajaran ilmu terjejas.

Apakah benar peranan guru sebagai sumber pemangkin ilmu semakin terhakis sebaliknya menjadi golongan itu diperkotak katikkan hingga mereka dalam dilema. Pengerusi Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia Cawangan Kedah, Anuar Husin, berkata golongan guru hari ini bukan sekadar memegang tanggungjawab sebagai pendidik malah anggota masyarakat secara keseluruhan.

Menurutnya, cabaran utama bukan lagi menyalurkan ilmu kepada pelajar sebaliknya turut mendidik masyarakat melalui peranan di luar waktu persekolahan sekali gus memberi bebanan dalam melaksanakan tumpuan dan tanggungjawab sebenar.

"Dalam perguruan, tugas hakiki adalah mengajar, malangnya guru masa kini dilambakkan dengan pelbagai tanggungjawab sukar dan mencabar. Mereka bukan sekadar guru tapi turut mendidik masyarakat secara keseluruhan.

"Malangnya masyarakat bersikap sambil lewa dan enggan bersama memikul tanggungjawab mendidik menyebabkan mereka semakin tertekan. Guru juga dihimpunkan pelbagai tugasan tidak sepatutnya seperti perkeranian.

"Justeru, bagaimana mahu menumpukan perhatian pada tugasan? Masyarakat hanya tahu memberi tekanan tapi enggan membantu," katanya.

Bukan isu baru guru terpaksa memikul pelbagai tanggungjawab remeh yang menuntut pengorbanan masa, antaranya mengurus dan mengemaskini sistem maklumat pelajar (Emis), sistem salah laku, pendaftaran, yuran, mengurus kumpulan wang amanah pelajar miskin (KWAPM), rancangan makanan dan susu tambahan.

Memburukkan keadaan, mereka terpaksa berhempas pulas menghabiskan sukatan pengajaran kerana dihantar berkursus selain pembelajaran tergendala.

Mengulasnya, Anuar berkata waktu persekolahan padat serta pelbagai perancangan dibuat menjadikan waktu guru semakin terhad hingga menyukarkan proses pembelajaran berjalan lancar.

"Sungguhpun tugasan sampingan tidak sukar, banyak waktu terbuang. Guru sering merungut kerana terlalu terikat dengan pelbagai tuntutan menyebabkan proses pembelajaran tergendala.

"Ia bukan remeh dan perlu diberi perhatian kerana bersangkut paut pencapaian pelajar masa depan. Guru sentiasa dipersalahkan jika pelajar gagal.

"Masyarakat pula mahukan kecemerlangan tapi enggan memahami. Apabila guru gagal menyempurnakannya, bukankah akan menimbulkan konflik? "Tindakan segera perlu diambil kerana bimbang akan menjejaskan mutu pendidikan keseluruhannya," katanya sambil meminta pihak berkenaan mencari penyelesaian terbaik bagi mengatasi kemelut itu.

Ditanya adakah rungutan itu disebabkan guru sudah lama dalam zon selesa, beliau berkata golongan itu boleh menerima perubahan namun perlu ada batasan dan mekanisme tertentu bagi menanganinya.

"Guru boleh menerima perubahan malah sedar tanggungjawab dipikul semakin berat tapi perlu ada tolak ansur. Mereka juga ada tanggungjawab lain perlu dipenuhi seperti keluarga.

"Masyarakat juga harus memberi sokongan dan bersama menggembleng tanggungjawab. Jangan lepaskan sepenuhnya pada guru kerana tidak adil," katanya.

Bagi mengatasi kemelut itu, beliau mencadangkan penyusunan semula tugas pekeranian sedia ada hingga tidak mengganggu tugas hakiki guru selain menambah lagi pembantu guru bertaraf kerani.

Bilangan pelajar turut perlu dikurangkan supaya guru tidak terbeban dalam mengemaskini data peribadi selain menerapkan peranan alumni untuk memberi pembelajaran berbeza berdasarkan pengalaman pekerjaan.

"Konflik perlu diatasi secara berhemah supaya semua pihak mendapat manfaatnya. Penyelesaian bukan sekadar jangka pendek tapi berpanjangan demi kebaikan generasi seterusnya.

"Menjadi guru bukan mudah namun kerjaya itu sangat mulia, perlu berlapang dada menerima apa jua cabaran manakala masyarakat juga jangan bersikap lepas tangan.

"Proses penjanaan ilmu tidak akan terhenti, justeru pelbagai pihak perlu mencari penyelesaian supaya konflik sedia ada dapat diatasi," katanya.

(sumber : Harian Metro)

Saturday, October 2, 2010

Keputusan temu duga

Assalamualaikum wbt.

Hari Khamis yang lepas, saya punya berita gembira berganda. Selain mendapat BE, alhamdulillah, saya mendapat keputusan bagi temuduga Guru Sandaran Siswazah Terlatih (GSST) yang telah saya jalani tempoh hari.



Syukur tak terkira buat yang MAHA PENCIPTA, ALLAH SWT atas nikmat kurniaan ini. InsyaALLAH ini adalah sebagai permulaan yang sebenar bagi saya untuk memulakan tugas sebagai seorang pendidik. Walaupun tarikh sah yang pada asalnya 31 Disember 2010 dilanjutkan kepada 31 Mac 2011, saya mengharapkan panggilan posting seawalnya. Jika lambat, tidak mengapa. InsyaALLAH saya tahu ALLAH Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk saya.

Sungguh, pada awalnya saya tidak yakin kerana saya seperti diuji semasa temuduga tempoh hari. Sila rujuk link ini dan ini. Tapi berkat doa suami, ibu bapa dan sahabat2, alhamdulillah, saya berjaya.

Alhamdulillah...

Friday, October 1, 2010

Kisah Guru Kelas & Bapa Prihatin

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah syukur. Dapat berita gembira semalam, sujud syukur buatNYA..nikmatMu itu ku syukuri. Kadang2 bila difikirkan banyak je nikmat yang ALLAH bagi, tapi kita jarang nak bersyukur dengan apa yang kita ada dan dapat. Sungguh susah nak didik diri ini untuk mensyukuri walau nikmat itu sedikit, tapi bila diuji dan ditarik nikmat tu, baru lah rasa pentingnya nikmat itu walau sedikit. Namun, pada yang sama jangan pula dikufuri nikmat yang ada.

Alah berfirman dalam QS.Ibrahim ayat 7 : “la in syakartum laa adziidanakum wa la’in kafartum inna azabi lasyadid” artinya “sesungguhnya jika (kamu) bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU) maka sesungguhnya azab-KU akan sangat pedih“.

InsyaALLAH saya akan kongsi tentang berita gembira tersebut pada post yang lain. Post ini ingin saya kongsikan tentang kisah saya hari ini. Menjadi guru ganti kepada guru kelas, maka automatiknya saya akan menjadi guru kelas kepada sebuah kelas tingkatan 4 ini.

Buku Kedatangan
Hari-hari sebelum ini menjadi tugas untuk menanda buku kedatangan harian. Hari ini, memandangkan sudah menjengah 1 Oktober nya, maka saya belajar perkara baru. Iaitu bagaimana menutup kedatangan bulan September. Agak rumit tetapi mendapat bimbingan guru-guru lain, alhamdulillah dapat peroleh ilmu baru hari ini. 

Bapa yang prihatin
Sedang khusyuk menulis nama untuk kedatangan bulan Oktober di pejabat, datang seorang bapa kepada salah seorang pelajar dari kelas saya tersebut. Beliau menceritakan tentang anaknya yang dilihat sedikit berubah iaitu menjadi pendiam, suka mengasingkan diri serta bertegas untuk tidak ke sekolah. Alasannya adalah kerana mahu belajar sendiri di rumah, di sekolah kelas sentiasa bising dan tidak boleh belajar, serta pelajar itu mengatakan yang dia sudah ketinggalan berbanding orang lain.

Bapa sebagai ketua keluarga

Saya sangat mengagumi bapa ini. Ini salah satu contoh ibu bapa yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang anaknya. Tidak seperti sesetengah ibu bapa yang lain yang menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada guru 100%. Sebenarnya, pelajar tersebut bukanlah tergolong dalam pelajar yang mempunyai masalah disiplin, tetapi mungkin mengalami tekanan kerana tidak dapat belajar. Diakui, kelas tersebut sentiasa bising dan pelajar-pelajar yang sangat 'istimewa'. Guru-guru lain memang sudah banyak memperkatakan tentang kelas tersebut. Saya akui, hanya beberapa orang pelajar yang berada di barisan pertama yang punya keinginan untuk belajar. Pelajar yang lain di belakang, satu kelompok suka berbual dengan bahasa masing2, satu kelompok suka bermain daun terup walaupun sudah beberapa kali dirampas dan satu kelompok lagi suka merayau-rayau.

Kadang ada yang cakap, ajar sahaja mereka yang mahu belajar. Tetapi guru juga manusia biasa. Kadang-kadang 'mood' serta semangat mahu mengajar berkurangan melihat sikap pelajar yang sebegitu.

Berbalik pada kisah bapa tadi, melihat kebimbangan di raut wajahnya, saya tahu beliau mahukan yang terbaik untuk anaknya. Kalau diikutkan, anak beliau seharusnya menerima surat amaran kedua kerana ketidak hadirannya ke sekolah sudah melebihi 20 hari. Beliau merayu agar anak beliau dibawa kepada perhatian pihak kaunseling selain juga mengharapkan saya dapat memerhati perkembangan anaknya. Beliau juga ada meminta saya untuk mengambil nombor telefon kawan baik anaknya. 

Saya sangat teruja melihat serta merasai kasih sayang seorang bapa ini. Walaupun beliau seorang pengurus, kesibukan tidak menjadi alasan untuk beliau tidak mengambil berat tentang anaknya. Buat mereka di luar sana, ayuh kita ambil contoh yang terbaik ini. Tugas utama mendidik adalah pada ibu bapa. Ingatlah, anak adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada setiap mereka yang terpilih.  Anak-anak adalah amanah, ia ibarat kain putih yang perlu dicorak dengan asas-asas agama agar hasilnya nanti ialah anak-anak yang soleh lagi cemerlang


Anak adalah amanah Allah kepada ibubapa.
                      

p/s : Doaku buat ummi dan buya, juga bapa mertua ku..
Maksudnya: Ya Allah, ampunilah segala dosa kami (adik beradik), dan (dosa) kedua ibubapa kami, dan rahmatilah keduanya sepertimana keduanya mendidik kami pada waktu kecil.

Wednesday, September 29, 2010

Kisah Cikgu Lagi 2

Assalamualaikum wbt

Sumber Gambar : Di Sini

Semalam rehat sebentar berbicara tentang sekolah. Bukan apa, semalam sudah bermula acara 'stress' yang ditunggu-tunggu. Saya mengamuk di dalam kelas kerana pelajar sangat bising. Dan hari ini ada seorang guru senior bercerita sekolah ini terkenal dengan sikap pelajar yang akan membalas dendam kepada guru dengan mencalarkan kereta.

Oh, sungguh biadap pelajar sekarang. Pengalaman lepas sangat membantu. Dulu, masa prkatikal sangat tertekan, tetapi sekarang sudah dapat sesuaikan diri. Saya hanya mengajar mereka yang mahu belajar. Yang x nak belajar, biarkan sahaja cuma saya akan pastikan mereka tidak bising dan tidak mengganggu pelajar yang lain. 

Guru-guru yang lain juga berpesan begitu. Masa yang ada saya gunakan untuk raih pengalaman yang berguna. Oh, siapa kata jadi cikgu senang?? Jadi cikgu sangatlah mencabar...

p/s : Tadi sementara tunggu suami datang ambil, sempat berbual dengan mak guard di sekolah. Dia menceritakan sebelum puasa yang lepas, tangan dia terseliuh akibat ditumbuk oleh pelajar Melayu. Sekolah sekarang tidak selamat sekarang. Sedang berkira-kira jika ada anak nanti, saya mahu hantar ke sekolah swasta yang paling terjamin segalanya..InsyaALLAH

Monday, September 27, 2010

Guru oh guru

Assalamualaikum wbt

Hari ni tak tahu nk tulis tajuk entry ini. Sudah tentu entry masih berkisar tentang kisah saya sebagai guru ganti. Blog ini adalah ruang untuk saya mencoret tentang pengalaman hidup saya agar bisa saya baca dan tatap di kemudian hari.

Kisah hari ini saya agak gembira. Awal pagi mengikuti perhimpunan rasmi sekolah. Agak singkat memandangkan sekarang musim peperiksaan serta tanpa kehadiran ramai guru. Ramai guru tiada hari ini makanya dapatlah saya tugasan untuk 'relief' kelas. Dapat dua kelas untuk dimasuki.

Dan hari ini juga merupakan kali pertama saya masuk untuk mengajar. Kelas pertama adalah kelas yang saya perlu jadi guru kelas sementara dan sudah tentu saya perlu jalankan tugas sebagai guru kelas yang baik, hehe. Ambil kedatangan dan mengambil senarai nama AJK kelas untuk dimasukkan sebagai markaH merit ko-kurikulum. Dan untuk pengtehuan, saya perlu menghantar markah dan mengisi buku markah ko-ku secepat mungkin. Peluang yang ada, saya sempat berbual dengan pelajar. Mereka lah yang membuatkan saya gembira hari ini kerana mereka menginngatkan saya kepada pelajar saya di Klang. Ada beberapa orang pelajar menanyakan tentang prospek kerjaya masa depan. Ada yang bercita-cita ingin menjadi seorang 
pilot' manakala seorang lagi ingin menjadi pakar patologi. Dan ada seorang pelajar yang agak nakal berkata beliau nak jadi jutawan yang tugasnya hanyalah menandatangani cek. Huhu

Masuk ke kelas satu lagi, saya berpeluang untuk mengajar subjek Komsas hari ini. Mengajar kelas hadapan tidak susah kerana mereka punya keinginan untuk belajar. Walau bagaimanapun mereka agak memandang sepi kepada subjek BM kerana mereka lebih memikirkan subjek-subjek lain yang lebih susah. Di sini, saya perlu bertegas. Tiada kerja lain yang boleh dibuat semasa waktu BM kecuali kerja BM.

 Hari demi hari banyak benda baru saya belajar. Dan saya juga banyak belajar apabila ditugaskan sebagai guru kelas. Mengisi kedatangan harian, menguruskan markah2 ko, dan banyak lagi.

p/s : Ada seorang pelajar saya cakap, "Cikgu tak rasa sekolah ni macam Palestin ke?". Saya faham maksudnya kerana sekolah ini sering bergegar dengan dentuman mercun yang amat kuat.


Sunday, September 26, 2010

Kisah Cikgu Lagi

Assalamualaikum wbt

HAri ne nk citer sal jadi cikgu lg. Semalam memang langsung x sempat update blog. Kalau sebelum ni, sekali sehari tu menjadi kewajipan, tapi bila jadi guru ganti, baru sedar masa untuk online makin berkurang.

Semalam ada sekolah ganti. Dan seperti biasa, bila dh hari Sabtu, bilangan pelajar yang hadir sgt lah sedikit. Makanya, saya langsung tidak perlu masuk ke kelas. Semalam awal-awal rasa sangat bosan berada di bilik guru namun kerana ada nya 'pot luck', dapatlah saya menikmati juadah hari raya yang dibawa oleh guru-guru lain. Sungguh, semua guru di situ tidak kerana kaum sangat2 mesra.

Setelah kekenyangan, saya kembali ke meja saya, lalu mata mula kuyu. Tiba2 pengetua panggil saya, rupanya pengetua soh tulis kedatangan sedangkan saya dh tulis, cuma beliau terlepas pandang. 

Masa yang ada saya gunakan untuk menganalisis buka RPH guru yang saya ganti. Memandangkan hari ini perlu menghantar untuk disemak oleh Pengetua. Alhamdulillah, saya berjaya mencari rentak pengajaran beliau mengikut susunan yang sangat terancang. Cikgu ini saya lihat sangat sistematik dalam pekerjaan beliau. 

Setelah siap, saya mula bosan. Jadi, saya untuk hilangkan bosan lagi, saya ambil Buku Antalogi Sastera Tingkatan 4, Harga Remaja dan alhamdulillah berjaya menghabiskan pembacaan beberapa cerpen. Bila nak masuk baca cerpen seterusnya, tiba-tiba ada guru Cina datang dan rupanya saya perlu menyelesaikan pengisian markah ko-kurikulum untuk sebuah kelas. Memandangakn guru yang saya ganti itu adalah guru kelas, makanya saya tahu banyak kerja yang perlu saya lakukan apatah lagi persekolahan sudah mahu ke penghujungnya untuk tahun ini. Guru-guru sangat sibuk untuk memasukkan markah2 penting, juga sibuk dengan ujian akhir tahun.

Apapun, saya sangat gembira bila dapat kerja. x de la saya bosan nanti. Alhamdulillah saya sangat bersyukur dengan perkhabaran dari salah seorang guru di situ kepada saya. Semoga ianya benar jadi kenyataan. InsyaALLAH

Semalam, saya sempat mengikuti mesyuarat agung koperasi. Koperasi sangat bagus sebenarnya. Kerana itu saya menyertai Bank Persatuan, bank koperasi kedua selepas Bank Rakyat.
P/S : mahu raih pengalaman sebanyaknya..

Friday, September 24, 2010

Cikgu BM

Assalamualaikum wbt

Hari ini hari kedua sebagai guru ganti. Hari ni dh masuk kelas yang perlu diajar. Kelas form 5 hanya sekadar menjaga exam memandangkan mereka sedang menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Dan untuk form 4, saya masuk kelas dan memperkenalkan diri sahaja dan belum memulakan p&p Kebanyakan daripada mereka tidak membawa buku memandangkan mereka masih menganggap tiada guru yang mengganti. Saya pula baru hari ini dapat berjumpa ketia Panitia BM untuk bertanyakan tentang apa yang perlu dibuat.

Untuk pengetahuan pembaca, saya perlu mengajar mata pelajaran BM. Jauh sekali daripada pengkhususan saya di U dahulu. Memang sangat gundah gulana. Walau bagaimanapun, setelah berbincang dengan ketua panitia, saya sedikit lega memandangkan guru asal sudah menghabiskan silibus dan saya hanya perlu member latih-tubi untuk pelajar tingkatan 4. Dan saya hanya perlu mengajar mereka selama 10 hari kerana selepas itu mereka akan berhadapan dengan peperiksaan akhir tahun.

Bagi tingkatan 5 pula, saya hanya mengajar mereka selama 15 hari kerana sekarang mereka sedang menghadapi pepreriksaan percubaan SPM. Saya juga tidak perlu menanda kertas soalan pelajar. Alhamdulillah, saya merasakan banyak urusan saya dipermudahkan oleh ALLAH.

Walaupun tidak mengajar subjek tumpuan saya, namun peluang ini akan saya gunakan untuk meraih pengalaman sebaiknya. Apabila di 'posting' kan nanti, belum tentu kita dapat mengajar subjek pilihan kita. Dan saya juga bersyukur kerana saya ada rujukan utama saya, iaitu ummi saya sendiri, Cg Aini Mohamad yang merupakan seorang guru BM dan BI di Maahad Muhammadi Lelaki.

Cabaran saya sekarang adalah rasa 'nervous' saya untuk berhadapan pelajar dan mengajar buat kali pertama. Bendai ini adalah kebiasaan yang berlaku pada saya. Dan perkara ini akan hilang selepas melepasi kali pertama itu, insyaALLAH.

p/s : Ummi saya juga dulu adalah dari bidang Ekonomi. Beliau hanya mengajar subjek tersebut di awal 'posting'. Tetapi sekarang beliau adalah ketua bidang bahasa di sekolah.

Thursday, September 23, 2010

Mula kerja sementara

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, hari ini hari pertama memulakan kerja sebagai guru ganti. Pada asalnya, tidak menjangkakan akan dapat kerja ni, tetapi pagi tadi pengetua sekolah tersebut telefon dan minta hadir hari ini juga. Mulanya berat mahu terima kerana perlu menggantikan Guru Bahasa Melayu, tetapi pengetua tu cakap,'' Awak cuba yang terbaik''. Apatah lagi saya hanya menggantikan guru tersebut selama 28 hari sahaja.

Saya akan mengajar pelajar tingkatan 4 dan 5. Saya berani menerima tawaran ini memandangkan saya hanya perlu mengajar mereka selama dua minggu kerana selepas itu mereka akan menjalani peperiksaan akhir tahun bagi tingkatan 4. Bagi tingkatakan 5 pula, sekarang mereka sedang menjalani peperiksaan percubaan SPM.

Bercakap tentang sekolah ini, mengingatkan saya kepada pelajar saya di sekolah saya berpraktikal dahulu. Namun, sekolah ini sangat besar dan mempunyai pelajar yang sangat ramai. Serta bilangan kaum Cina yang agak ramai. Walau bagaimanapun saya sangat bersyukur kerana pengalaman saya berpraktikal dulu boleh digunakan sedikit sebanyak untuk menjadi guru ganti di sini.

Apapun, saya memohon kekuatan dari ALLAH agar dipermudahkan segala urusan saya di sini serta mampu berhadapan dengan segala cabaran yang bakal dihadapi. Mengajar budak sekolah bandar tidak semudah itu. Saya juga berharap sahabat-sahabat sekalian sentiasa mendoakan saya juga. Semoga pengalaman yang bakal saya peroleh manjadi bekal berharga untuk di'posting' kan kelak.

Wallahu 'alam.

p/s : Pengetua sekolah tadi berbangsa Cina, sangat baik dan peramah. Beliau berpesan, apapun jangan sentuh pelajar (pukul). Beliau bercakap lagi, semua pelajar di sekolah sama sahaja. Cuma perlu kan cara untuk mendekati mereka yang nakal.

Wallahu 'alam

Friday, May 7, 2010

Drama atau pentomin


Assalamualaikum wbt...

Sekadar perkongsian ringkas tentang apa yang berlaku hari ini. Hari ini adalah pertandingan drama anjuran Panitia Sejarah sempena Karnival Ko-Akademik yang melibatkan semua pelajar tingkatan 4. Sudah tentu, dua kelas ku terlibat, 4 Beringin dan 4 Damar.

Untuk 4 B, sudah tentu tiada masalah kerana mereka begitu bersemangat untuk berlatih dan sudah tentu sangat bersedia. Namun, sebaliknya bagi pelajar 4 D. Mereka juga membuat persediaan, namun tidak selancar kelas-kelas lain. Pada saat akhir, ada konflik yang berlaku antara mereka hingga ada yang menarik diri serta merajuk untuk tidak berlakon. Sesi pujuk-memujuk berlaku. Aku bukanlah guru yang mengendalikan, namun oleh kerana aku begitu rapat dengan mereka, aku dengan sukacita menawarkan diri memberi sesi kaunseling kepada mereka bersama-sama pengetua memandangkan mereka ini diajar oleh Pengetua untuk subjek Sejarah. Pengetua juga telah mengarahkan aku untuk 'berkejaran', mengenali suspek2 pelajar 4 D yang berkeliaran. Sesi kejar mengejar serta rayu-merayu dijalankan.

Kalau diikutkan, mereka ingin menarik diri, namun Pengetua tidak membenarkan jua. Lalu, kata-kata semangat diberikan. Pujuk-rayu juga berjalan. Ada yang bersemangat, ada yang lari begitu sahaja. Namun, aku sangat mengagumi pelajar-pelajar ku ini. Walaupun mereka sangat tidak bersedia seperti kelas lain dari segi hafalan skrip mahupun prop, namun mereka tidak malu untuk membuktikan.

Usai sahaja persembahan, mereka berkumpul di satu sudut bersama pengetua. Teringat kata-kata pengetu, "Kalah menang bukan soalnya, at least kamu mencuba. Ada pengalaman yang kamu dapat..".

Pelajar-pelajar 4B dan 4D dijamu ais krim oleh Pengetua. Ada kepuasan di wajah-wajah itu. Walau mereka mungkin tidak meraih kemenangan, namun mereka peroleh pengalaman berharga di situ.

Benarlah kata-kata pengetua kepadaku, "Kita ni cikgu, kena selalu memberi peluang kepada pelajar. Lihat apa peluang yang sesuai dengan kebolehan mereka...".

Akan ku ingati nasihat itu...

Aku bersama pelajar 4B

Pengetua bersama pelajar 4D

p/s : Pelajar-pelajarku juga adalah pelajar-pelajar yang diajar oleh Pengetua untuk subjek Sejarah. Jadi, jika kami sempat berbual, ada modal untuk berbual. Dulu sangat takut untuk berbual dengan beliau, namun sekarang tidak lagi.