Friday, October 1, 2010

Kisah Guru Kelas & Bapa Prihatin

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah syukur. Dapat berita gembira semalam, sujud syukur buatNYA..nikmatMu itu ku syukuri. Kadang2 bila difikirkan banyak je nikmat yang ALLAH bagi, tapi kita jarang nak bersyukur dengan apa yang kita ada dan dapat. Sungguh susah nak didik diri ini untuk mensyukuri walau nikmat itu sedikit, tapi bila diuji dan ditarik nikmat tu, baru lah rasa pentingnya nikmat itu walau sedikit. Namun, pada yang sama jangan pula dikufuri nikmat yang ada.

Alah berfirman dalam QS.Ibrahim ayat 7 : “la in syakartum laa adziidanakum wa la’in kafartum inna azabi lasyadid” artinya “sesungguhnya jika (kamu) bersyukur pasti kami akan menambah (nikmat) kepadamu. Dan jika kamu mengingkari (nikmat-KU) maka sesungguhnya azab-KU akan sangat pedih“.

InsyaALLAH saya akan kongsi tentang berita gembira tersebut pada post yang lain. Post ini ingin saya kongsikan tentang kisah saya hari ini. Menjadi guru ganti kepada guru kelas, maka automatiknya saya akan menjadi guru kelas kepada sebuah kelas tingkatan 4 ini.

Buku Kedatangan
Hari-hari sebelum ini menjadi tugas untuk menanda buku kedatangan harian. Hari ini, memandangkan sudah menjengah 1 Oktober nya, maka saya belajar perkara baru. Iaitu bagaimana menutup kedatangan bulan September. Agak rumit tetapi mendapat bimbingan guru-guru lain, alhamdulillah dapat peroleh ilmu baru hari ini. 

Bapa yang prihatin
Sedang khusyuk menulis nama untuk kedatangan bulan Oktober di pejabat, datang seorang bapa kepada salah seorang pelajar dari kelas saya tersebut. Beliau menceritakan tentang anaknya yang dilihat sedikit berubah iaitu menjadi pendiam, suka mengasingkan diri serta bertegas untuk tidak ke sekolah. Alasannya adalah kerana mahu belajar sendiri di rumah, di sekolah kelas sentiasa bising dan tidak boleh belajar, serta pelajar itu mengatakan yang dia sudah ketinggalan berbanding orang lain.

Bapa sebagai ketua keluarga

Saya sangat mengagumi bapa ini. Ini salah satu contoh ibu bapa yang sangat prihatin dan mengambil berat tentang anaknya. Tidak seperti sesetengah ibu bapa yang lain yang menyerahkan sepenuhnya tugas mendidik kepada guru 100%. Sebenarnya, pelajar tersebut bukanlah tergolong dalam pelajar yang mempunyai masalah disiplin, tetapi mungkin mengalami tekanan kerana tidak dapat belajar. Diakui, kelas tersebut sentiasa bising dan pelajar-pelajar yang sangat 'istimewa'. Guru-guru lain memang sudah banyak memperkatakan tentang kelas tersebut. Saya akui, hanya beberapa orang pelajar yang berada di barisan pertama yang punya keinginan untuk belajar. Pelajar yang lain di belakang, satu kelompok suka berbual dengan bahasa masing2, satu kelompok suka bermain daun terup walaupun sudah beberapa kali dirampas dan satu kelompok lagi suka merayau-rayau.

Kadang ada yang cakap, ajar sahaja mereka yang mahu belajar. Tetapi guru juga manusia biasa. Kadang-kadang 'mood' serta semangat mahu mengajar berkurangan melihat sikap pelajar yang sebegitu.

Berbalik pada kisah bapa tadi, melihat kebimbangan di raut wajahnya, saya tahu beliau mahukan yang terbaik untuk anaknya. Kalau diikutkan, anak beliau seharusnya menerima surat amaran kedua kerana ketidak hadirannya ke sekolah sudah melebihi 20 hari. Beliau merayu agar anak beliau dibawa kepada perhatian pihak kaunseling selain juga mengharapkan saya dapat memerhati perkembangan anaknya. Beliau juga ada meminta saya untuk mengambil nombor telefon kawan baik anaknya. 

Saya sangat teruja melihat serta merasai kasih sayang seorang bapa ini. Walaupun beliau seorang pengurus, kesibukan tidak menjadi alasan untuk beliau tidak mengambil berat tentang anaknya. Buat mereka di luar sana, ayuh kita ambil contoh yang terbaik ini. Tugas utama mendidik adalah pada ibu bapa. Ingatlah, anak adalah amanah dan tanggungjawab yang diberikan oleh Allah kepada setiap mereka yang terpilih.  Anak-anak adalah amanah, ia ibarat kain putih yang perlu dicorak dengan asas-asas agama agar hasilnya nanti ialah anak-anak yang soleh lagi cemerlang


Anak adalah amanah Allah kepada ibubapa.
                      

p/s : Doaku buat ummi dan buya, juga bapa mertua ku..
Maksudnya: Ya Allah, ampunilah segala dosa kami (adik beradik), dan (dosa) kedua ibubapa kami, dan rahmatilah keduanya sepertimana keduanya mendidik kami pada waktu kecil.

No comments: