Soal Jawab Agama Oleh Dr. Amran Kasimin
SOALAN:
Kami sekeluarga seumpama burung terbang sekawan, mengharungi hidup aman bahagia dengan sepasang anak yang comel dan suami begitu penyayang.
Bulan lepas suami saya meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Tangan dan pahanya patah. Segala-galanya musnah, luluh di penghujung kedamaian yang kami kecapi selama ini.
Saya terlalu merinduinya. Dada saya sakit menahan hiba dan sebak. Segala penderitaan dan rasa remuk hanya saya menanggungnya. Anak yang sedang membesar tidak faham segala-galanya, kerana saya perlu menyembunyikannya.
Beberapa kali saya bermimpi didatangi olehnya. Saya khayal dalam dakapannya yang saya rindui sejak kehilangannya. Hidup saya bertenaga kembali.
Tangan kanannya kelihatan terkulai. Ketika ditanya kenapa ia tidak memeluk saya sempurna, dia menyatakan ``tidak mengapa. Kita akan bertemu di syurga nanti.'' Setiap kali bertemu dia berpesan supaya menjaga anak kami sebaik mungkin.
Saya terlalu mengharapkan mimpi ini berulang selalu, tetapi ia tidak berlaku. Saya kebingungan. Ke mana sebenarnya pengakhir kehidupan kami? - LYANA, Kuala Lumpur.
JAWAPAN:
Kehidupan insan terdiri daripada tiga unsur utama, iaitu jasad, roh dan akal, juga nyawa. Nyawa tidak ubah seumpama lampu bagi bangunan. Apabila lampu itu padam, maka gelaplah bangunan berkenaan, seumpama nyawa, apabila ia berpisah daripada jasad, maka padamlah manusia itu lalu ia menerima mati.
Roh tidak akan binasa. Apabila janin yang ada dalam perut ibu itu sempurna kejadiannya, maka Allah meniupkan padanya roh, lalu hiduplah manusia (janin) tadi. Ia membesar dan akan dicabut daripada tubuh manusia oleh malaikat maut apabila tiba masanya, diserahkan kepada Allah.
Ketika itu roh berada di alam barzakh, iaitu alam yang memisahkan antara hidup dunia (fana) dengan kehidupan akhirat kelak.
Kehidupan di antara dua dunia ini dikenali sebagai arwah apabila seseorang itu telah mati, maka ia berada di alam akhirat, yang bermula apabila seseorang itu mati, sehingga dibangkitkan kelak, dihimpunkan di padang mahsyar lalu akhirnya dibalas, sama ada di syurga atau neraka.
Apabila seseorang yang beriman itu tiba ajalnya, maka dia akan didatangi oleh malaikat, yang datang dengan sekeping kain sutera yang ada padanya kesturi, anbar dan harum-haruman.
Maka keluarlah rohnya seumpama tercabutnya sehelai rambut daripada tepung adunan. Diucapkan padanya: Wahai jiwa yang tenang, keluarlah dalam keadaan reda dan diredai ke atasmu, engkau akan memperoleh kegembiraan daripada Allah dan kemuliaan-Nya. Maka apabila keluar rohnya, ia diletakkan di atas kesturi dan raihan kemudian kain tadi dilipat lalu dibawa dengannya ke illiyiin.
Apabila roh itu keluar dari jasad, maka ia berada di alam barzakh. Menurut sesetengah ulama, mayat akan merasai nikmat atau azab, iaitu azab yang dikenakan atau dirasai oleh roh dan jasad sekali. Dalam surah al-Mukmin: 46 dijelaskan: Kepada mereka diperlihatkan neraka pagi dan petang.
Dalam surah Taha: 124 dijelaskan: Dan barang siapa berpaling daripada peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sukar (sempit) dan Kami akan menghidupkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta.
Jelasnya, apabila roh seseorang itu telah berpisah daripada jasad atau berada di alam barzakh, ia akan dipersembahkan oleh malaikat maut kepada Allah, dibalas dengan nikmat syurga atau neraka, bergantung kepada amalan-amalan yang telah dilakukan ketika hidup di dunia.
Alam barzakh inilah yang memisahkan di antara kehidupan alam dunia dengan alam akhirat atau hari kiamat kelak. Lebih jelas, tidak akan berlaku kehidupan yang saling tembus-menembusi.
Roh manusia yang telah meninggal dunia tidak akan kembali, bergaul seperti biasa dalam kehidupan harian manusia, berbual-bual seperti biasa, ataupun melalui mimpi seperti yang berlaku ke atas saudari, mendakap dan memberi pesanan agar menjaga anak baik-baik.
Begitu juga sebaliknya iaitu ketika seseorang itu masih hidup. Manusia tidak akan berupaya menerobosi atau menembusi kehidupan di alam akhirat, akibat adanya pemisah, iaitu alam barzakh tadi.
Lebih jelas manusia tidak diberi keupayaan oleh Allah untuk meninjau-ninjau nikmat kehidupan di alam akhirat, di kubur, di syurga ataupun neraka, kerana Allah menjadikan keupayaan makhluknya dalam lingkaran kekuasaan masing-masing, kecuali dengan kehendak Allah ke atas hamba-Nya tertentu, seperti dalam kejadian israk mikraj.
Baginda melihat kehidupan di dalam kubur, kedatangan malaikat maut ketika hendak mengambil nyawa seseorang dan sebagainya. Terlalu banyak bukti memperlihatkan kekuatan hujah yang saya ketengahkan ini sama ada daripada al-Quran juga hadis-hadis yang begitu mudah untuk ditonjolkan.
Dalam keadaan rasa rindu yang bersangatan, sebak dada yang sering menghimpit saudari didatangi oleh makhluk yang dikenali sebagai ``qarin''. Menurut bahasa, qarin bererti teman atau rakan. Yang dimaksudkan dengan qarin di sini ialah roh-roh jahat daripada kalangan makhluk-makhluk halus yang selalunya menemani manusia sejak daripada kelahiran seseorang bayi sehinggalah seseorang itu meninggal dunia.
Ketika manusia mati sama ada dalam keadaan beriman kepada Allah atau mati dalam keadaan murtad, syirik atau kufur hasil daripada tipu helah iblis dan syaitan yang sentiasa berada di samping manusia, menemani manusia ke mana dia pergi, ataupun mati dalam Islam tetapi bergelumang dalam maksiat.
Kewujudan qarin ialah untuk menggoda manusia, menampakkan hal-hal yang buruk dan hal-hal yang jahat-jahat seolah-olah baik pada anggapan manusia, lalu akhirnya manusia terpengaruh atau terpesong.
Qarin sentiasa berusaha menjerumuskan manusia dengan menggoda, merayu dan menipu, berupaya memilih dan memerhati waktu-waktu yang elok untuk memperdaya manusia, terutamanya ketika seseorang itu dalam keadaan stress atau depress dan seumpamanya, termasuk ketika menghadapi bala atau percubaan daripada Allah, akibat kematian orang yang dikasihi, ketika sakit bersangatan, ketika menghadapi keretakan rumah tangga dan sebagainya.
Itulah waktu yang ditunggu-tunggu, lalu qarin itu berlagak seumpama penyelesai masalah manusia, mengatasi masalah rindu yang terpendam di dada, memberi jalan-jalan keluar ketika manusia kehilangan anak yang disayangi dan sebagainya.
Dalam surah al-An'am: 112 terdapat firman Allah: Dan demikianlah kami jadikan bagi setiap nabi itu musuh dari jenis manusia dan jin, sebahagian daripada mereka membisikkan kepada yang lain perkataan yang indah-indah untuk menipu.
Rasulullah pernah ditanya sama ada baginda didatangi qarin atau tidak. Baginda menjawab: Saya pun ada qarin. Akan tetapi Allah menolong saya daripada gangguannya. Maka tidaklah ia boleh menguasai akan daku daripada gangguannya, maka tidaklah ia menyuruh saya, kecuali untuk melakukan kebaikan.
Dalam sebuah hadis lain, baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya tidak ada seorang daripada kalangan manusia yang baru dilahirkan melainkan dia disertai oleh Allah seorang jin sebagai kawan. Jin yang menemani manusia, untuk menyesatkan itulah yang dinamakan qarin.
Qarin ini sentiasa berada di samping manusia, ketika berjalan, tidur atau sebagainya. Kerana itu ia amat mengetahui hal-hal yang berkaitan dengan orang yang berkenaan.
Hutang yang ditanggung. Perilaku manusia termasuk membunuh, mencela dan sebagainya. Apabila manusia yang sentiasa ditemani oleh qarin itu mati, maka qarin ini tetap hidup, untuk menyesatkan manusia yang masih hidup, sama ada isteri atau keluarganya, maka makhluk qarin ini akan menerobosi, menembusi kehidupan manusia melalui pelbagai cara, terutama melalui mimpi. Itulah di antara keistimewaan makhluk ini, yang berupaya berhubung dengan manusia yang masih hidup, melalui mimpi. Satu keistimewaan yang diberi oleh Allah kepada makhluk ini, yang tidak ada pada manusia.
Sekiranya orang yang mati tadi mempunyai hutang kepada orang-orang tertentu, menganiaya orang-orang tertentu, melakukan sihir ke atasnya menyebabkan dia mati atau membunuhnya dengan senjata, maka qarin ini dengan izin Allah berupaya menggambarkan dirinya seperti si mati yang sedang diseksa dalam kubur.
Si mati melalui mimpi memohon kepada waris, seorang atau beberapa orang untuk memperkuat anggapan bahawa apa yang berlaku itu benar, memohon supaya waris tadi membayar hutang yang dilarikan atau memohon keampunan. Meminta kepada waris terutamanya isteri si mati supaya memohon keampunan kepada waris orang yang terbunuh, sama ada melalui sihir atau dengan senjata.
Tidak kurang juga orang yang didatangi mimpi supaya diadakan bacaan Yasin pada malam Jumaat, minta dibacakan al-Quran di atas kubur atau dibayarkan sedekah kepada 40 orang fakir miskin.
Anehnya, apabila permintaan tersebut dilaksanakan, mimpi-mimpi yang mengharukan itu menjadi reda dan akhirnya tidak ada gangguan berlaku.
Helah yang sama berlaku kepada puan, di mana seperti yang dimaklumi tangan arwah suami patah ketika berlaku kemalangan. Dalam keadaan kerinduan dan sebak dada yang sering berlaku akibat menahan hiba, qarin itu datang seumpama berusaha meleraikan pelbagai warna rindu yang tidak dapat digambarkan penderitaan daripadanya.
Semuanya ini menyebabkan puan mahukan agar mimpi itu berulang. Tetapi ia tidak berlaku kerana kalau ia berlaku setiap kali puan terlalu mengharapkannya, kerinduan puan yang sebenar akan berkurangan, menyebabkan pemikiran dan segala tumpuan puan berkurangan dan kembali normal. Demikianlah di antara helah-helah iblis dan syaitan untuk menyesatkan manusia.
Terlalu mudah untuk mengatasi masalah seperti yang puan alami, biarpun ia sangat sukar untuk melakukannya. Berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Peristiwa menyayat hati berlaku terlalu baru. Apa yang puan rasai tetap akan dirasai oleh semua orang sekiranya ini berlaku, menimpa, puan akan berupaya mengatasinya menurut masa yang berlalu.
Tuhan lebih menyayangi suami puan dan mengambilnya lebih dahulu. Dahulu Allah memberikan kepada puan dan sekarang Allah mengambilnya semula. Lumrah alam yang tidak ada manusia berupaya menyangkalnya.
Allah mahukan agar setiap qadak dan qadar ketentuannya itu diterima oleh semua makhluk dengan reda.
Puan tidak perlu melayani mimpi yang berlaku. Semakin kuat puan mengharapkan mimpi tadi, puan akan lebih teruk terlibat dengan kemelut rasa rindu, menyesal, menyebabkan dada semakin sebak dan hidup tidak menentu.
Apa yang berlaku adalah daripada mainan iblis dan syaitan yang dikenali sebagai ``qarin'' yang datang menyusul di celah penderitaan. Sekiranya puan melayaninya, rindukan dakapan mimpi didatangi oleh roh almarhum suami puan, padahal ia adalah mainan qarin iaitu syaitan, bererti puan terlalu merindui dakapan syaitan patah tangan, yang dilakukan semata-mata untuk menipu menguatkan bahawa apa yang berlaku adalah benar iaitu daripada roh al-marhum.
Hal demikian sama dengan orang yang didatangi mimpi supaya dibayarkan hutang, dipohonkan maaf dan sebagainya.
Sekiranya manusia yang hidup itu menunaikan permintaan yang disalurkan melalui mimpi, maka dia sebenarnya tunduk menunaikan permintaan iblis dan syaitan.
Walaupun demikian, sekiranya seseorang itu benar-benar diketahui mempunyai hutang, hutang wang, kewajipan haji, pernah membunuh manusia, tidak kira dengan apa cara, manusia yang hidup boleh melaksanakan tanggungjawab yang sebenarnya dipikul oleh si mati, atas kesedaran bahawa ia mesti disempurnakan sebagai hak anak Adam terhadap anak Adam, bukan kerana mendapat perintah, rayuan daripada qarin yang datang melalui mimpi, menyerupai si mati.
Sesungguhnya roh itu adalah urusan Allah, yang hanya Dia mengetahui hakikatnya.
- Pembaca yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:
Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia
46M, Jalan Chan Sow Lin
55200 Kuala Lumpur.
Faks: 03-92213752
E-mel: mingguan@utusan.com.my
(sunber : Bicara Agama, Utusan Malaysia)
3 comments:
jeles tgk blog ateh...
bile blog akak leh chomel cam ni..hehehe
hehe..akak tukar la layout nt..
thx 4 d info.
nice blog.
Post a Comment