Assalamualaikum.....
Alhamdulillah masih diberi kesempatan untuk menulis di blog ini. Kekangan akibat dari kesibukan menyelesaikan assignment dan program mengheadkan waktuku untuk menulis dalam blog ini. Hanya mampu untuk melayari blog-blog orang lain, itu hobiku sekarang.
Kali ini saya ingin berkongsi berkaitan histeria. Saya bukan ingin menulis tentang apa itu histeris, cuma ingin berkongsi sedikit sebanyak tentang perkara ini. Kerana sejak akhir-akhir ini perkara ini sering berlegar-legar di sekeliling saya.
Pada dua minggu yang lepas, saya baru sahaja sampai dari kampung jam 6.oo petang. Dan terus berniat untuk membasuh baju. Sedang ayik membasuh, tiba-tiba pintu rumah ku diketuk oleh ketua aras 2, kak Nani mengatakan ada student yang diserang histeria di aras dua. Aku terus bergegas ke rumah terbabit. Dan student itu sudah kukenali, kerana dia pernah diserang histeria pada semester lepas. Aku tidak punya ilmu untuk mengubati histeria, cuma mampu menampar dan membaca sediki sebanyak ayat2 suci Al-Quran. Namun, dia tidak sedarkan sendiri dan meracau-racau. Aku terus menghubungi sahabatku, Mas Atirah dan juga Ustaz Fauzi. Panggilan pada ustaz x terjawab. Aku terus menghubungi NYDP JMK KHAR, syahir untuk meminta pertolongan beliau untuk memanggil pelajar lelaki yang pandai mengubati. Beberara ketika kemudian, syahir, azman dan hafiz datang untuk merawat.
Agak rumit kulihat untuk mengubati pelajar histeria ini. Jin atau makhluk yang mengganggu itu enggan keluar dr tubuh mangsa. Beberapa orang diperlukan untuk memegang mangsa. Aku juga salah seorangnya yang memegang. Amat kuat tenaga mangsa untuk melawan. Sungguh kasihan apabila melihat mangsa yang keletihan apabila diserang histeria ini. Semoga dia sembuh sepenuhnya dari gangguan itu lg.
Kisah di atas hanya secebis dari pengalamanku. Sepanjang hampir 4 semester memegang jawatan sbg JMK, aku banyak berhadapan dengan kes-kes seperti ini. Pada awalnya, aku juga takut untuk meng'handle' perkara2 seeprti ini memandangakn aku juga dlu pernah di 'ganggu'.Namun, perasaan dan semangat ingin melawan, membuatkan aku kuatkan juga tekad melawan perasaan takut itu.
Dan semalam, sempena Minggu Eksplorasi Islam, pihak kami telah memanggil beberapa orang Ustaz dari Pusat Perubatan Islam Darus Salam, Gombak untuk membuat rawatan kesihatan mengikut Perubatan Islam dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang. Ini juga memberi pengalaman baru bagiku memandangkan aku sempat melihat bagaimana ustaz merawat beberapa orang pelajar yang di;ganggu'. Bacaan ayat Al-Quran, Teriakan dan tangisan serta suara2 garau memenuhi ruang bilik gapura itu. Di akhir rawatn itu, iaitu pada jam 6.00 petang, Ustaz memanggil kami untuk memberi beberapa tips. Menurut ustaz, kebanyakan yang mengalami gangguan adalah akibat dari belajar silat.
Berikut beberapa tips yang diberi oleh Ustaz :-
1. Solat jangan tinggal
2. Sentiasa kekalkan dalam keadaan berwudhu'
3. Amalkan zikir dan ayat al-Quran sentiasa
4. Solat sunat ba'diyyah selepas Maghrib
5. Amalkan membaca surah Al-Baqarah antara Maghrib dan Isya'
6. Amalkan solat witir sebelum tidur
7. Amalkan membaca surah Al-Mulk sebelum tidur
8. Tidur dalam keadaan berwudhu'
Bersama ini juga disertakan artikel yang diambil dari Harakahdaily.com untuk perkongsian bersama :-
Tips elak Histeria: Haron Din saran amal Muawizat
Azamin Amin Wed Feb 25, 09 12:58:34 pm MYT
Kejadian histeria adalah fenomena yang sering berlaku di sekolah-sekolah berasrama penuh yang perlu diambil perhatian oleh pelbagai pihak di samping mengamalkan beberapa kaedah, amalan dan doa tertentu bagi mengatasi gejala terbabit.
Bagi menghindari kejadian histeria atau rasuk akibat gangguan makhluk halus berulang di kalangan para pelajar sekolah asrama mahupun orang awam, salah satu amalan dan petua yang sebaiknya diamalkan ialah Muawizat.
Muawizat adalah surah-surah yang terdiri daripada surah al-Ikhlas,al-Falaq dan an-Nas yang dibaca setiap hari baik sebelah pagi atau pada sebelah malam, selain hadis sahih Rasulullah s.a.w menyebut ayatul Qursi juga turut dibaca bagi menghindari kejahatan dan gangguan makhluk halus.
Demikian saranan Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din ketika diminta mengulas berhubung kejadian histeria di sekolah-sekolah yang terpaksa ditutup akibat kejadian Histeria.
Beliau turut menjelaskan beberapa punca yang menyebabkan terjadinya kerasukan di kalangan para pelajar antaranya ialah berlaku 'breakdown' pada perasaan atau jiwa seseorang disebabkan tekanan (tension) belajar yang terlalu tinggi di samping kelemahan seseorang mengalami emosi ketakutan yang bersangatan sehingga memudahkan gejala makhluk halus mengganggu hingga terjadinya histeria.
"Ketakburan juga boleh menyebabkan histeria iaitu berani yang terlampau sehingga mengganggu atau mencabar tempat-tempat yang dipercayai ada makhluk halus," katanya yang kini berada di Langkawi ketika dihubungi Harakahdaily sebentar tadi.
"Selain itu, akibat manusia yang menceroboh kawasan 'mereka' hingga mereka datang 'membalas' pula.
"Dan fenomena ini tidak hanya berlaku di sekolah-sekolah agama, sekolah biasa atau berasrama penuh sahaja tetapi juga banyak terjadi di kilang-kilang serta tempat orang berkenduri kendara," kata pengamal perubatan Islam itu.
'Pindahkan' makhluk halus ke kawasan lain
Ini menjelaskan lagi katanya bahawa dunia ini tidak didiami oleh manusia sahaja malah turut dihuni oleh makhluk-mahkluk lain juga yang dikenali dengan pelbagai nama dan oleh yang demikian manusia sewajarnya tidak sewenang-wenangnya menceroboh kawasan 'mereka' atau lebih baik lagi berdoa kepada Allah SWT supaya dihindari dari gangguan jin syaitan mahupun makhluk halus.
"Sebaik-baiknya sebelum buat bangunan atau sekolah di satu-satu kawasan, perlu berdoa terlebih dahulu supaya dilindungi ataupun 'memindahkan' makhluk tersebut ke kawasan yang lain," katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa Rasullulah juga turut berdoa kepada Allah agar dilindungi daripada diganggu oleh makhluk yang mendiami alam ghaib ini.
Doa tersebut katanya berbunyi begini: "Wahai bumi, tuhanku dan tuhanmu sama iaitu Allah, aku mohon perlindungan Allah daripada kejahatanmu dan kejahatan yang keluar darimu, dan kejahatan yang turun atasmu, kejahatan yang melata atasmu seperti binatang berbisa dan mahkluk halus yang mendiami tempat ini serta keturunan-keturunan mereka."
Sebelum itu, Mufti Selangor, Dato' Mohd Tamyes Abd Wahid, yang turut mengulas kejadian terbabit dilaporkan berkata bahawa apabila seseorang takut kepada syaitan dan makhluk halus seperti jin, ia hanya akan menyebabkan makhluk itu semakin bongkak.
Jangan tinggal solat
"Kita ambil contoh, kadang-kadang pelajar yang tinggal di asrama, khususnya pelajar perempuan, sering ditakut-takutkan dengan kewujudan 'penunggu' di bilik air dan disuruh berhati-hati sehingga akhirnya mereka percaya," katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pelajar di sekolah berkenaan tidak meninggalkan solat dan menjaga disiplin dan apabila seseorang meninggalkan solat, amat mudah syaitan mengganggu menyebabkan kejadian seperti histeria.
Mohd Tamyes yang mempunyai pandangan yang sama dengan Haron Din berkata, mahkluk halus seperti jin berada di sekeliling manusia, cuma ia tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Seperti manusia, katanya, ia memiliki tempat tinggal dan selalunya menghuni rumah yang ditinggalkan kosong.
"Semua pelajar perlu berhati-hati dan mempunyai kekuatan diri supaya tidak mudah dirasuk serta tidak mudah takut dengan gangguan syaitan dan iblis,katanya - azm
(Interbiu dengan Dato' Haron Din berhubung kes histeria ini dibuat dua tahun lalu, sekadar panduan dan rujukan kepada yang terlibat dan yang mahu mengambil pengajaran daripadanya- wallahualam)
Sekian, entry kali ini...Semoga bermanfaat buat semua..
No comments:
Post a Comment