Friday, July 23, 2010

Sekufu


Assalamualaikum wbt..

Terasa nak menulis, sejak akhir-akhir ini memang sangat rajin menulis, kerana kelapangan yang ada, perlu dimanfaatkan sebaiknya. Apatah lagi ada banyak yang ingin ditulis mahupun dikongsi.

Alhamdulillah semalam sempat menonton rancangan Semanis Kurma di TV9, yang tajuknya 'Abai Nafkah'. Menonton bersama suami, sangat khusyuk beliau mendengar sehingga tertidur kerana pening kepada akibat terkena hujan pulang dari kerja semalam. (Kesian abang, huhuhu)

Apa yang ingin dikongsi di sini bukan tentang keseluruhan topik yang dikupas tetapi tentang segmen permulaan di mana menampilkan seorang perempuan yang meluahkan perasaan tentang pengabaian nafkah oleh suaminya. Daripada kata-katanya, (wajahnya disembunyikan) beliau adalah seorang eksekutif di salah sebuah syarikat manakala suaminya hanyalah kerani biasa.

Benda ini membuatku sedikit tertarik, akal mula ligat berfikir. Dalam hal ini, bukan ingin aku persoalkan salah siapa, tapi ada satu sisi yang perlu dilihat. Iaitu soal 'sekufu'.

Sekufu
Sekufu sangat penting dalam hal ehwal perkahwinan ISLAM. Ia berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Muslim: Tidak berhak mengahwinkan seorang anak perempuan kecuali dengan wali, dan tidak berhak mengahwinkan wanita kecuali dengan lelaki yang sekufu dengannya. Dalam kes di atas, sebenarnya perlu dilihat tentang masalah sekufu ini. Lalu, artikel2 di internet menjadi rujukan saya untuk memahami hal sekufu ini.

Dipetik dari artikel ini, Menurut Penolong Profesor di Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak, Dr. Amilah Awang Abd. Rahman dalam hal ini menjelaskan, apabila kita membicarakan soal sekufu atau `kafaah', kita tidak boleh melihat ia sebagai satu perkara yang terpisah daripada agama itu sendiri.

Saya sangat tertarik dengan kata-kata Dr Aminah , ``Sekufu didefinisikan oleh para ulama sebagai `al musawah wal muqarab' atau yang bermaksud persamaan atau hampir.

``Yang dimaksudkan dengan persamaan atau hampir ini lebih ditekankan dalam Islam kepada pihak perempuan.

``Jadi di sini, sekiranya seorang lelaki itu mengambil seorang isteri yang lebih rendah pendidikannya atau yang lebih sedikit hartanya dan sebagainya, ia biasanya tidak menimbulkan sebarang masalah kemudian hari.

``Berlainan pula seandainya seorang isteri bersuamikan seorang lelaki yang jauh lebih rendah daripadanya dalam semua perkara. Dalam hal inilah, Islam melihat kafaah sebagai satu aspek yang perlu dijaga,'' jelas Dr. Amilah.

Jika ingin mengetahui lebih, eloklah pembaca untuk membaca keseluruhan artikel di atas, cumanya, saya ingin menekankan di sini, bagaimana soal sekufu bukan lah hanya sekadar dilihat dari segi harta dan pangkat, malah ia boleh dilihat dari segi agama, iffah, keturunan, ketaqwaan kepada Allah s.w.t, akhlak dll. Bukan sekadar `DUDUK sama rendah, berdiri sama tinggi', 'Sama cantik sama padan' dan `Bagai pinang dibelah dua'.

Kufu dari segi agama: kedua-duanya sama seagama
Kufu dari segi iffah (terpelihara dari segala amalan yang haram dalam pergaulan harian): kedua-duanya berakhlak mulia dan dari keluarga yang baik (maksudnya, mengambil berat tentang agama)
Kufu dari segi keturunan: seperti sama sebangsa

Kufu dari segi ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah s.w.t.: Inilah jenis kufu yang perlu dititikberatkan oleh wali dan bakal pengantin. Ini kerana ketaatan dan ketaqwaan akan menjamin rumahtangga bahagia.

Pasangan yang diijabkabulkan dengan keimanan tahu tanggungjawab masing-masing. Tidak timbul masalah pengabaian nafkah. Tidak timbul masalah dera mendera. Tidak terjadi suami main kayu tiga. Tidak terabai pendidikan dan makan pakai anak-anak. Tidak ada rungutan dan cemuhan dari isteri jika suami tidak mampu menyediakan banglo dan lauk enak setiap hari. Semuanya berjalan dengan tenang, sabar dan penuh kesyukuran.

(sumber :http://drhasanah.com/2007/apa-ada-pada-sekufu/)


Dalam soal ini, ayuh kita lihat pada sejarah. Kita tengok pada Sirah Nabi Junjunhgan kita, Rasulullah SAW bagaimana kita harus melihat betapa sifat taqwa, redha serta qanaahnya Saidatina Siti Khadijah, bangsawan Arab yang kaya-raya menerima Raslulullah SAW sebagai suami. Tidak timbul soal harta siapa yang paling banyak, tetapi bahkan harta beliau diinfakkan sepenuhnya untuk perjuangan suami tercinta....

Mampukah kita sebagai para isteri untuk mencapai tahap seperti itu?? Tepuk dada, tanyalah iman.

p/s : Ya ALLAH, jadilah aku hamba yang bersyukur..

1 comment:

Syahir Mohamad said...

salam.. saya pun tengok .. betul kata ateh.. agak susah kalau perempuan lbh berkerjaya dari lagi2 tapi semua ni berbalik pada kita semua..