Assalamualaikum wbt
Sudah hampir waktu berbuka. Mengambil masa seketika untuk berblogging sebelum menjengah dapur. Alhamdulillah, ALLAH masih memberi kesempatan kepadaku untuk merasai nikmatnya Ramadhan, dan merupakan Ramadhan pertama sebagai seorang isteri.
Ramadhan kali ini sudah semestinya berbeza sebelumnya. Selama 4 tahun menyambut Ramadhan di kolej tercinta, menjalankan rutin setiap petang hingga malam, iaitu membentang tikar, mengedarkan moreh, bertadarus, dan solat terawikh beramai-ramai di gelanggang mahupun di foyer KHAR. Bersama-sama sahabat menyusun atur tikar, mengangkat tirai, membuat air untuk berbuka, menyediakan makanan untuk berbuka oleh Pusat Islam, dan berbuka puasa bersama-sama sahabat serta adik-adik, sungguh indah kenangan itu. Dan kerana itu berlinangan air mata ini mengenangkan saat indah itu.
Dan semalam, terawikh pertama sebagai seorang isteri. Alhamdulillah, sempat ke masjid berdekatan bersama suami tercinta untuk menunaikan solat sunat ini. Sesampai di masjid, kulihat penuh sesak. Jemaah memenuhi hingga ke belakang ruang sof masjid. Niat 'iktikaf tidak dilupakan.
Pada awalnya, terdetik dalam hati, semoga bilangan ini berkekalan hingga ke akhir Ramadhan. Namun, ada sedikit kekecewaan di hati ini. Pertamanya, tentang jemaah yang membawa bersama anak-anak ke masjid. Pada asalnya tidak salah untuk membawa anak ke masjid apatah lagi untuk mendidik anak ke masjid, tetapi ianya menjadi sangat ralat apabila anak-anak ini membuat bising, bermain-main lalu lalang berkejaran di hadapan sof yang sedang solat. Bahkan, ada jemaah yang meletakkan anak di tepi semasa solat, dan ini sudah tentu mengganggu aturan sof. Anak-anak yang berada di tepi itu jugalah yang lalu-lalang, menarik sejadah si ibu, dan sudah tentu mengganggu kekhusyukan si ibu juga jemaah lain yang berhampiran.
Yang keduanya, tentang terputus sof. Betapa ramai di kalangan kita yang tidak mahu merapatkan saf, masing-masing tidak mahu berganjak kerana mahu berada di atas sejadah masing-masing. Bahkan mungkin ada yang tidak mahu berhimpit-himpit. Sedangkan hakikatnya berada dalam sof perlu bersentuahan bahu ke bahu.
Dipetik dari blog ini,
(Kemudian adab solat berjemaah juga mesti dipelihara. Antara adabnya ialah:
1. Merapatkan dan meluruskan saf
Selalu dilihat di kebanyakan masjid para makmum yang solat jemaah tidak merapatkan saf mereka. Walaupun mereka istiqamah solat jemaat lima kali sehari, tapi amat rugi kerana mengabaikan perkara yang mudah diamalkan. Apakah mereka tidak suka dan rimas apabila bersentuhan dengan orang di sebelah mereka? Sikap itulah yang merugikan mereka, dan di situ ada sedikit unsur ego dan besar diri
Sabda Nabi kita, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: luruskan saf-saf kamu, dan rapat-rapatlah (Al Bukhari dan Muslim, Dalilul Falihin, j 3, ms 586
Sabda Nabi Muhammad, selawat dan salam ke atasnya, ertinya: luruskan saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf adalah menyempurnakan solat. (Muttafaqun alaih, Dalilul Falihin, j 3, ms 585)
Kata Anas bin Malik: adalah seorang daripada kami merapatkan bahu dan kakinya dengan orang di sebelahnya. (Bukhari, ibid)
Sabda Nabi, selawat dan salam ke atas baginda, ertinya: janganlah kamu berbeza kedudukan dam saf, maka sebab itu hati kamu semua akan berbeza (pandangan) (Abu Daud, isnad hasan)
Sebab tidak rapat saf ialah kerana rasa rimas bersentuhan dengan orang lain. Dan rasa rimas ini biasanya datang kerana rasa besar diri dan tidak mesra dengan oarang lain. Rasa besar diri inilah menjadi punca pergaduhan dan perpecahan umat Islam. )
Solat terawikh di KHAR |
Cukup sedih lagi apabila melihat lagi ramai yang tidak mahu berganjak apabila mahu menunaikan solat witir sedangkan sof di hadapan banyak yang kosong.
Aku bukanlah orang yang ahli tentang hal ini tetapi sedih memikirkan orang Islam sekarang. Beberapa kali imam menegur agar dirapatkan sof tetapi keadaannya masih sama...
Wallahu 'alam.
p/s : hari ini mahu awal ke masjid. Mahu berada di sof depan.
No comments:
Post a Comment