Monday, February 14, 2011

Tentang Hati

Assalamualaikum wbt
Merajinkan diri juga untuk menulis walau hakikatnya sangat malas. Mencari kekuatan kerajinan dalam penulisan. Dua hari lepas, aku ada menulis, kononnya hasil karyaku. Yang terhasil dari idea yang tiba-tiba. Sebenarnya ada sesuatu yang terjadi yang membuatkan terhasilnya karya itu.

Namun, aku ingin tafsirkan hasil karya itu dari sudut lain dari asalnya. Ianya berkaitan hati. 

Hati
Setiap manusia dikurniakan sekeping hati. Hati tempat tertakluknya segala jenis perasaan dan jiwa. Segalanya bermula dari hati. 


Rasulullah SAW bersabda:


“Ingatlah, dalam tubuh manusia itu ada segumpal daging. Kalau segumpal daging itu baik, maka akan baiklah seluruh tubuhnya. Tetapi, bila rusak, niscaya akan rusak pula seluruh tubuhnya. Segumpal daging itu bernama HATI..." (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).


Apa yang boleh aku katakan, hasil karyaku ini sepertinya tentang luahan jiwaku kepada sosok diriku sendiri. Seolah-olah monolog dalaman. Bagaimana jiwa ini meronta-ronta memarahi tuannya, yang begitu mempermainkan soal hati, iaitu hati yang tidak dijaga dengan sebetulnya.


Hatiku ini apa
Yang bisa kau guriskan

-> Hati ini telah banyak ku guriskan jiwanya, dengan kurangnya sang muhasaba



Hatiku ini apa
Yang suka kau sakitkan

-> Hati ini telah kusakiti dengan banyaknya perkara yang melalaikan



Hatiku ini apa
Yang sering kau lukakan

-> Hati ini sering kulukai dengan terlalu memikirkan keduniaan yang menggila



Hatiku ini apa
Yang kerap kau torehkan

-> Hati ini kerap ditoreh dengan pisau belati bersalut racun nafsu diri 



Hatiku ini apa
Yang jarang kau jagakan

-> Hatiku tidak kujagakan sepenuhnya. Sering dibiarkan lesu tanpa belaian rohani yang seharusnya



Hatiku ini apa
Yang terus tiada semaian..

-> Dan hati ini semakin kurang semaian zikirullah...

Itulah maksud monologku. Tuntutan jiwa batinku agar hati ini dijaga sebaiknya. Ia, sungguh sukar menjaga segumpal darah bergelar hati ini. Namun, alhamdulillah, ALLAH masih menyayangi diri ini, kerana DIA masih bisa memberi ruang hidayahku, melalui teguran yang pelbagai, melalui peluang yang dihampar seluasnya. 

Terima kasih ya Allah, kerana masih memberi peluang kepada diri ini untuk menjaga hati kurniaanMU ini. Semoga hatiku tidak pernah leka dari mengingati MU..

"(Iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, HANYA dengan mengingati ALLAH-lah hati menjadi tenteram." [Ar-Ra'd:28] 

Buat sahabat-sahabat di luar sana, ayuh sama-sama kita jaga hati kita sebaiknya. Jangan biarkan ia terus tercemar dengan debu duniawi yang mencemarkan...




Saturday, February 12, 2011

Hatiku Ini Apa

Hatiku ini apa
Yang bisa kau guriskan
Hatiku ini apa
Yang suka kau sakitkan
Hatiku ini apa
Yang sering kau lukakan
Hatiku ini apa
Yang kerap kau torehkan
Hatiku ini apa
Yang jarang kau jagakan
Hatiku ini apa
Yang terus tiada semaian..

Hatiku hanya kertas

Wednesday, February 9, 2011

Science Teacher

Assalamualaikum...

Hari ini sudah 9hb Februari. Sedar tak sedar sudah masuk bulan kedua saya bergelar pendidik. Mungkin kerana itu blog ini kadang bagaikan tiada serinya, kosong dari sebarang catitan.

Alhamdulillah, saya sangat bahagia bergelar seorang guru. Boleh dikatakan saya masih lagi dalam proses menyesuaikan diri dan belajar. Ia, belajar untuk mendidik.

Sepanjang sebulan lebih ini, pelbagai karenah pelajar yang saya sudah temui. Sungguh, banyak pengalaman diraih walaupun tempoh pengenalan masih awal. 

Mengajar Sains, jadual saya yang asalnya hanya lah 20 waktu. Tetapi sekarang, saya perlu mengambil alih tugas guru yang cuti bersalin, menjadikan saya sekarang mengajar 25 waktu. Mungkin masih lagi sedikit berbanding kawan-kawan yang lain.



Alhamdulillah, saya bersyukur kerana subjek yang diajar masih lagi dalam bidang saya, walaupun bukanlah opsyen atau major saya iaitu Kimia. Saya menerima hakikat itu. Bahkan saya sangat 'enjoy' mengajar subjek ini. Ia, subjek Sains, subjek yang mendalami kajian tentang segala ciptaan Tuhan.

Dan sekarang, saya mengajar Sains untuk Ting. 1, 3 4 dan 5 dengan 25 waktu per minggu.

kredit gambar : Google

Ya ALLAH, permudahkan urusan hambaMU ini...

p/s : Alhamdulillah

Tuesday, February 1, 2011

Bersiaran dari Penang

Assalamualaikum wbt

Hari ni sudah menjengah 1 Februari. Sekejap sahaja masa berlalu. Sudah masuk bulan kedua dalam tahun Masihi ini. Bagi yang bertuah, tarikh ini sudah tentu ada yang bercuti, apatah lagi disambung dengan cuti Tahun Baru Cina. Alhamdulillah, begitu juga saya. Sekolah saya ambil cuti berganti untuk digenapkan menjadi seminggu. 

Maka, peluang yang ada, saya dan suami merancang untuk ke Penang. Beliau perlu ambil cuti. Dan sekarang saya dan suami berada di Hydro Hotel, Batu Feringgi, Penang. Kami bertolak seawal jam 2 pagi semalam, kononnya untuk mengelak dari kesesakan lalu lintas.

Berhenti di Juru untuk solat Subuh dan tiba di Batu Feringgi jam 8.30 pagi tadi. Hanya pada jam 12 tgh hari tadi baru dapat check-in. Kami bersarapan di Bayan Lepas tadi.

Sekadar itu sahaja mahu berkongsi. Boleh dikatakan ini honey moon yang pertama. Sebelum ini, tiada peluang seperti ini walaupun sudah hampir 8 bulan berkahwin. Alhamdulillah, ALLAH bagi rezki untuk menghabiskan cuti ini bersama. 

Semoga cuti ini memberi momentum kepada saya untuk kembali bergerak kerja. InsyaALLAH. Juga diharapkan cuti ini dapatlah saya dan suami merehatkan minda dan fizikal dari segala bebanan kerja.

Sumber image : Google

Bilik kami di tingkat 4..


Buat kawan-kawan di luar sana, selamat bercuti!