Thursday, May 6, 2010

Warna Kehidupan: 'Bertudung litup, berlengan pendek, berseluar sendat'

Warna Kehidupan: 'Bertudung litup, berlengan pendek, berseluar sendat'
Oleh Nurul Farina Nazlan
nfarina@bharian.com.my


PEMAKAIAN tudung semakin diterima umat Islam negara ini tanpa mengira kedudukan mereka dalam masyarakat mahupun usia kerana pemakaiannya selari dengan tuntutan agama suci itu yang menuntut Muslimah untuk tidak mendedahkan aurat termasuk rambut mereka.

Penerimaan generasi muda Islam untuk memuliakan tuntutan Islam ini setidak-tidaknya memberi gambaran betapa kini berpakaian menutup aurat cuba dipenuhi meskipun ketika mereka menggayakan pakaian moden ekoran kehadiran semakin ramai pereka fesyen Muslimah.Pelbagai maklumat mengenai gaya bertudung yang disiarkan dalam media cetak dan secara dalam talian boleh diikuti Muslimah negara ini selagi ada daya usaha untuk melihat perkembangan terkini bagi melakukan perbandingan pakaian yang menepati selera.Terkini, Muslimah negara ini dilanda dengan trend bertudung gaya burung belatuk yang asalnya popular di Indonesia, tetapi dengan mudah menembusi pasaran negara ini sehingga berlaku lambakan tudung sedemikian dan mahu tidak mahu, sebahagian besar wanita Islam bertukar kepada gaya terbabit.

Selain gaya bertudung, Muslimah negara ini juga semakin ramai yang mengenakan kemeja-t berlengan pendek dan berseluar sendat, tetapi kepala tetap bertudung litup meskipun hakikat gaya berbusana sedemikian tidak menepati syarat berbusana dalam Islam.

Gaya berbusana sedemikian dikatakan lahir dari Indonesia yang kebetulan tidak mempunyai tradisi berbaju kurung, lalu apa juga pakaian hatta berkemeja t dengan lengan pendek turut dipadankan dengan tudung apabila diri sudah terbuka kepada nur Islam.

Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Maslida Yusof, tidak menolak gaya berbusana sedemikian semakin ketara di negara ini, tetapi bukan saja di kalangan warga Indonesia tetapi juga Malaysia, khususnya golongan remaja.

“Saya sendiri tidak mengerti mengapa remaja Melayu Malaysia memilih cara berpakaian yang tidak sempurna sedangkan menutup aurat adalah sesuatu yang dituntut, malahan mereka akan kelihatan lebih sempurna, cantik dan manis dipandang,” katanya ketika ditemui Sastera di Bangi, baru-baru ini.

Baginya, mereka yang bertudung, tetapi masih berpakaian yang tidak sesuai dengan etika berpakaian Islam adalah kerana bersikap ambil mudah dan tidak memahami peraturan atau panduan berpakaian bagi wanita bertudung yang ditetapkan Islam.

“Sekiranya kita ikhlas bertudung, kita juga perlu tahu sebab dan mengapa Islam menuntut wanita untuk bertudung dan berpakaian sempurna, menutup aurat dan kemas. Dengan mematuhi cara berbusana menurut Islam, ia dapat memberi gambaran baik kepada masyarakat bukan Islam berkenaan keindahan agama suci kita,” jelasnya.

Dr Maslida yakin bahawa bertudung juga dijadikan muslihat sesetengah warga Indonesia bagi meraih simpati majikan Islam untuk mengambil mereka bekerja, meskipun hakikatnya mereka bukan beragama Islam kerana kerana sesetengah majikan negara ini tidak meneliti latar belakang pekerja mereka secara menyeluruh.

“Bagaimanapun, saya tidak menafikan ada individu Indonesia Islam yang hanya berpakaian sekadar memenuhi tuntutan kerja dan bukan kerana mengamalkan cara pemakaian Islam. Jadi terserah kepada kita untuk memilih yang terbaik untuk keluarga,” katanya.

Pemilik Butik MaMa, Nor Ainna Ibrahim, pula menegaskan tidak salah sekiranya ada kelompok yang berbaju lengan pendek, tetapi dipadankan dengan sarung lengan agar busana menjadi lebih sopan dan menepati ciri berpakaian menurut tuntutan Islam.

“Wanita Islam tidak kira dari mana dan apa juga latar belakang, perlu mengetahui cara untuk bergaya sopan dan menepati kehendak Islam. Butik MaMa dan Muslimah lain mempunyai pelbagai jenis pakaian yang boleh disesuaikan dengan cita rasa wanita bertudung.

“Malah, majalah dan akhbar yang memaparkan fesyen dan rencana bertudung boleh dijadikan rujukan untuk berpakaian menutup aurat. Wanita bertudung juga boleh melayari laman web butik Muslimah untuk mendapatkan pandangan mengenai etika berpakaian dan kesesuaiannya mengikut majlis serta tempat,” ujarnya.

Bagi Nor Ainna, tidak alasan bagi wanita bertudung untuk menghalalkan cara berpakaian yang tidak menepati ciri berpakaian Muslimah kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai maklumat tepat melalui pelbagai saluran media pada masa ini, hanya rajin dan malas saja yang menjadi masalah.

“Perlu diingat, Islam menuntut wanita agar menutup aurat kecuali muka dan tapak tangan. Walaupun kita moden, tatacara berpakaian sopan dan sesuai mengikut apa yang diterapkan Islam bagi wanita bertudung masih tetap memberi ruang kepada mereka untuk tampil bergaya,” katanya.

No comments: