Saturday, March 5, 2011

ENTRY KE-330

Assalamualaikum wbt..

Sudah dua minggu lebih tidak menulis. Kekok pula rasanya nak membina ayat. Entry ini pula hampir seminggu disimpan di 'draft', hari ini cuma untuk melengkapkan. Alhamdulillah, ada kekuatan untuk menulis entry ke-330 blog ini. 

Image from : Google

Entry ke-330, bukan jumlah yang banyak. Diakui entry dalam blog ini tidak semua hasil penulisanku, ada artikel copy n paste yang ku rasa bermanfaat untuk ku kongsi bersama. Semoga entry ke-330 ini menjadi permulaan baru untuk ku terus gigih menulis.


Sejak bergelar pendidik, banyak idea serta perkongsian yang ingin ditulis. Tetapi kerana kepenatan, mood menulis hilang begitu saja. Mendidik, bukanlah senang. Kadang mengundang kepenatan, kadang begitu menguja. Sebagai pendidik, pelbagai perkara diuji.


Kisah Rajukku
Kali ini, ingin kukongsi kisah rajukanku. Kisah seorang guru muda, yang masih baru di alam mendidik. Itulah aku. Buat kali pertama, aku kalah pada desakan emosi. Kisahnya ialah aku merajuk dengan pelajar kelasku. Kelas yang aku sebagai guru kelas mereka. Sebelum kes itu berlaku, aku sudah banyak menerima komen dan omelan guru-guru lain tentang kebisingan kelas itu. Ramai guru yang mengajar kelas tersebut mengadu yang kelas itu sangat bising dan banyak cakap.

Aduan guru aku terima pada awalnya dengan hati yang lapang. Setiap kali masuk ke kelas, tidak lupa untuk ku berpesan agar jangan bising, jaga tingkah laku. Bagiku, aku masih boleh menerima keadaan mereka. Tetapi tidak pada hari Selasa yang lepas. Mungkin kerana aku keletihan waktu itu. Aku masuk seperti biasa, memberi nota dan mengajar. Mereka ini masih ada yang bising. Pada awalnya, aku sudah melarang supaya jangan bising. Namun, sepertinya mereka langsung tidak mengambil peduli arahanku. Okey, masih lagi dimaafkan. Tetapi, apabila aku sedang mengajar, ada yang bercakap dan membuat bising, kesabaran aku akhirnya berakhir. Ada kata-kata yang kuluahkan, mengejutkan mereka. Kelas senyap semuanya. Lalu, aku terus ke meja guru, mengambil segala barangan ku, terus keluar dari kelas tanpa menghiraukan mereka.

Ada beberapa orang yang mengikutku dari belakang sehingga ke makmal, datang memohon maaf. Bagiku pada masa itu, hati aku menolak untuk memaafkan. Rasa sangat berkecil hati. Aku menyuruh mereka kembali ke kelas memandangkan aku ada kelas lain pada masa itu. Alasan yang baik.

Setelah habis kelas lain di makmal, setibanya di bilik guru, ada beberapa sosok pelajarku setia menunggu. Menanti ingin memohon maaf. Kami berbual di hadapan bilik guru. Ada yang menangis, aku juga hampir menitiskan air mata. Kisahnya berakhir begitu pada hari tersebut....

Apabila difikirkan kembali, ada silap aku di situ. Salah tindakan aku meluru keluar begitu. Aku terlalu mengikut hati dan emosi. Pengajaran bagiku. Aku merujuk kepada seorang guru kanan di sekolah ku. Beliau menyatakan tindakan aku itu salah. Tapi beliau akui, bagi guru baru sepertiku, itu perkara biasa. Katanya, banyak perkara lagi yang perlu aku belajar.

Bagiku, aku akui kesilapan itu. Namun, pada masa yang sama, tindakan aku itu seperti dapat memberi pengajaran kepada mereka tentang sesuatu. Semoga mereka mampu berubah...InsyaALLAH

No comments: