Monday, January 31, 2011

Kembali bersua.

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, ada sedikit detikan untuk menulis. Detik dari hati. Hampir 2 minggu lebih blog ini sunyi dari sebarang tulisan. Sebenarnya, tiada kekangan untuk menulis, cuma sedikit keterbatasan masa serta idea. Kadang-kadang, ada saja perkara ingin dikongsi, namun tersekat begitu saja.

Sedar tak sedar, sudah hampir sebulan saya bergelar pendidik. Dalam tempoh itu, pelbagai perkara dan pengalaman sudah saya tempoh. Banyak yang ingin saya kongsikan, tetapi bukan sekarang.

Alhamdulillah, dapat cuti seminggu sempena Tahun Baru Cina. Kesempatan yang ada, saya dan suami akan bercuti ke Penang nanti. Percutian selama 3 hari 2 malam. Hotel sudah ditempah. Percutian yang pada asalnya ke Pulau Tioman, namun terpaksa diubah kerana suami mahu menghadiri kenduri kahwin kawan sekolah rendahnya. Jadi, plan bercuti ditukar ke Utara. 

Semoga percutian ini dapat dimanfaatkan untuk suami dan saya merehatkan minda dan bersantai setelah kepenatan bekerja. Juga untuk mencari momentum baru dalam kerjaya masing-masing. Apatah lagi, ini adalah percutian rasmi kami yang pertama. Yang pertama pergi berdua. Boleh dikatakan sebagai bulan madu juga.

Setakat itu sahaja dulu. Doakan perjalanan kami selamat. Selamat bercuti dan wassalam.

p/s : Sama2 doakan sahabat2 kita serta saudara2 di Mesir. Semoga segalanya seperti sedia kala. Ingatlah, rakyat adalah raja yang sebenarnya. Suara mereka penentu jatuh bangun sesebuah negara

Wednesday, January 12, 2011

Berpada-padalah

Assalamualaikum wbt

KAdang2 bila mood dan kerajinan menulis datang, timbul pula masalah kekeringan idea. Bukan tiada isu atau perkara ingin dikongsi, tetapi kadang bukan senang untuk menerjemahkan ke dalam bentuk perkataan.

Di sekolah, banyak perkara berlaku. Setiap hari, bukan babak yang sama berputar. Hari ini, saya 'mengamuk'. Atau dalam erti kata lain saya meninggikan suara serta berleter dalam kelas. Diakui, saya bukanlah guru yang garang. Saya lebih selesa aktiviti P&P berjalan dalam keadaan santai dan tidak tertekan. Tetapi, apabila sampai satu tahap, bilamana ada pelajar yang bising, sehinggakan mengganggu pelajar lain, seterusnya menggangu mood mengajar saya, maka bom jangka saya bisa meletup.


Makanya tadi, berlakulah ketegasan dan kemarahan. Walau apapun, marah perlulah berpada-pada. Niat marah, bukan kerana benci, tetapi sekadar ingin menegur, agar mereka dapat berubah. Sebagai guru, pandai-pandailah memilih masa dan waktu yang sesuai untuk bertindak tegas. Setelah kita membebel, atau marah2, tak perlu sampai habis waktu berterusan. CUkuplah seketika sahaja. Kerana kita perlu ingat, ada sebahagian lagi insan yang menanti untuk belajar. Bagi pelajar yang dimarahi tadi, kita cubalah untuk slow talk smula dengan mereka. Tak perlu menunjukkan kebencian kepada mereka. CUkuplah merasionalkan mereka kembali kenapa kita memarahi mereka.

Saya bukanlah insan yang sesuai untuk berkata tentang ini. Saya masih baru dalam arena pendidikan ini. Apa yang saya tulis, mungkin hanya sesuai pada masa-masa tertentu sahaja. Perlu juga dilihat keadaan serta sikap pelajar itu sendiri. Kesedaran mereka sendiri samada mahu berubah atau tidak. Juga samada mereka ini sedar bahawa mereka melakukan kesilapan.

Setiap hari, saya belajar perkara dan pengalaman yang baru. Setiap hari, saya meneliti sikap dan sifat pelajar saya yang pelbagai. Kerana saya perlu mengenali mereka sedalamnya. Kerana mereka adalah permata hati saya di sekolah...

p/s : Kawan-kawan di luar sana, bagaimana?

Tuesday, January 11, 2011

MENGIKUT RENTAK

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, diberi ilham untuk menulis di ruang maya ini. Tiada apa yang menarik ingin dikongsi, sekadar berkisar tentang tajuk entry di atas.


MENGIKUT RENTAK
Rentak apa? Tiada kaitan ye dengan AJL yang heboh diperkatakan. Apa yang saya maksudkan ialah saya semakin hampir berjaya mengikut rentak dalam rutin harian sehari-hari apabila sudah bekerjaya ini. Sudah masuk minggu kedua hari persekolahan. Alhamdulillah, saya mampu untuk turun seawal jam 6.45 pagi, untuk ke sekolah.

Walaupun hakikatnya jarak tidaklah jauh, tetapi saya perlu bertolak awal untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas. Dengan waktu bertolak tersebut, saya mampu tiba jam 7.10 pagi. Kadang-kadang terbabas juga hampir 7.20 pagi. Niat di hati, ingin juga untuk bertolak lebih awal, tetapi saya tidak mahu terlepas untuk menyediakan sarapan buat suami tercinta.

Setiap pagi, saya akan pastikan sekurang-kurangnya saya akan menyediakan minuman untuk suami. Tapi kebiasaannya, saya sempat untuk menggoreng nugget, karipap segera jika ada bekalan. Kadang2, jika tidak berkesempatan, suami saya memahami, sudah tersedia biskut atau roti.

Di sekolah pula, saya sudah mampu mengadaptasi dengan persekitaran sekolah. rakan sekerja serta para pelajar. Keutamaan saya adalah kepada pelajar. Alhamdulillah, pelajar saya sangat 'behave' kecuali dua tiga orang yang nakal dan ada masalah disiplin.

Waktu pulang saya tidak tetap. Paling awal jam 1.30 petang saya sudah menuju ke kereta. Apabila difikirkan, saya masih belum ada komitmen, tidak perlu saya pulang terlalu awal. Komitmen yang saya maksudkan di sini, saya tak perlu menyediakan makan tengah hari memandangkan suami saya pulang petang. Tidak perlu tergesa-gesa untuk mengambil anak di sekolah atau di tempat asuhan kerana saya masih belum dikurniakan rezki anak. (Tolong doakan saya agar dimurahkan rezki) 

Dan kerana itu, kadang2 saya stay di sekolah, menyiapakn kerja2 tertunggak seperti RPH, kelas dll.

Hari demi hari, tangan ku tadah, menagih doa serta untaian syukur, atas nikmat kurniaanNYA ini. Semoga hari makin hari, sentiasa menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Juga agar rentak yang diikuti, sentiasa dalam keredhaanNYA. InsyaALLAH



P/S : kisah anda bagaimana?

Sunday, January 9, 2011

Selesai tugasan pada hari minggu

Assalamualaikum wbt...

Alhamdulillah berkesempatan juga menulis sebelum tidur. Ada juga masa untuk berkongsi cerita di sini. Cerita hujung mingguku. 

Kalau diikutkan, seharusnya aku harus ke Gombak, tetapi memandangkan suamiku lebih memerlukan aku pada hujung minggu ini, makanya kisah hujung mingguku berkisar bersama suami. Suamiku sangat sibuk untuk menyiapkan proposalnya yang perlu dibentangkan Rabu ini. Ya, proposal untuk tesis master beliau.

Tugas sebagai isteri, perlulah aku untuk bersama beliau membantu mana yang termampu termasuk mengganggu beliau,hehe.

Pada masa yang sama, alhamdulillah, berjaya juga menyiapkan lesson plan, menggosok baju kurung sebanyak 5 helai (cukup untuk seminggu), menyelesaikan kerja2 sekolah yang lain, mengemas rumah, dll lg. Sempat juga keluar menemani suami.

Aku di hujung minggu, hehe

(Kredit gambar : Google)
Itu saja kisah hujung minggu saya. Tidak semua perlu aku kisahkan di sini. Cukuplah sekadar catatan maya untuk tatapan semua. Wallahu 'alam.

p/s : Tempat isteri di sisi suami...

Wednesday, January 5, 2011

Bermulanya Alam Kerjaya

Assalamualaikum wbt

Sudah lama blog ini ditinggalkan sepi. Sepi dari penulisan mahupun artikel. Segalanya mungkin diri ini masih menyesuaikan diri dengan kehidupan baru.

Kehidupan baru di sini ialah kehidupan di alam kerjaya. 3 Januari 2011, bermulalah kisahku sebagai seorang guru. Alhamdulillah atas nikmat dan kesempatan ini. Bukan semua yang mahu serta berminat dalam kerjaya ini. 

Sudah 3 hari berlalu, setiap hari aku memandu sendiri ke sekolah. Perlu turun seawal 6.45 minit. Walaupun jarak ke sekolah tidak jauh, namun kerana ingin mengelak kesesakan lalu lintas, bertolak awal pagi menjadi pilihan. Apatah lagi, untuk menyenangkan ku untuk 'parking' kereta di ruang yang lebih sesuai.

Diberi taklifan mengajar Sains tingkatan 4 dan 5, alhamdulillah diri menerima dengan reda. Aku juga bersyukur, kerana pelajar-pelajar di sini bertingkah laku sangat baik. Apa yang diharapkan, agar ianya berkekalan. Agar aku selesa untuk menumpahkan ilmu untuk mereka.

Menjadi guru bukanlah senang. Semua orang mungkin boleh mengajar, tetapi tidak semua yang mampu mendidik. Mendidik sepenuh hati, seikhlas hati.


Setiap hari, dalam doaku, moga aku mampu menjadi guru terbaik untuk anak didikku. Semoga gaji yang kuperoleh, adalah halal, hasil usaha gigihku. AKu langsung tidak mahu gaji yang kuperoleh tidak setanding dengan usahaku.

Buat kawan-kawan seperjuangan, selamat bertugas sebagai seorang guru. Jadilah guru juga pendidik. Ingat, jika kita mengajar seikhlas hati, semoga kerahmatan dan keredhaaN ALLAH mampu kita raih untuk kita bergelar jutawan di akhirat kelak. 

Daripada Abu Hurairah Radhiallahu ‘Anhu katanya,, Rasulullah SAW telah bersabda : Jika anak Adam meninggal, maka amalnya terputus kecuali dari tiga perkara, sedekah jariyah (wakaf), ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa kepadanya.'' (HR Muslim).


~Celik Insan Kerana Guru Unggul (CIKGU)~